Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About

DARI KEKERASAN DAN KEBENCIAN MENUJU KELEMBUTAN DAN KERAHMATAN

Para ulamak menafsirkan bahawa maksud “Bil Mauizatill Hasanah” dalam surah An-Nahl : 125 yang menjadi batu asas methodology dakwah adalah bermaksud seruan dengan perkataan yang lemah lembut dan menyentuh hati.

Terlalu banyak dalil menunjukkan dakwah Islam tertegak atas kelembutan dan kejinakan hati.a

Antara punca timbulnya kekerasan dan tindakan radikal ektremisme kalangan mereka yang mendakwa pejuang Islam :

Salahfaham dalam memahami jihad

Merubah Kemungkaran : Antara Jalan Keras dan Jalan Lembut

Pra syarat merubah kemungkaran (fiqh taghyir ) :
Haruslah jelas perbuatan itu adalah kemungkaran yang secara syar’ie, mengundang dosa besar (al-Kaba’ir), perbuatan yang diharamkan secara qath’iyy ataupun ijma’. Yakni tidak ada istilah kemungkaran pada perkara syubhat atau yang diragui, dan perkara makruh. Permasalahan ijtihad dalam masalah khilafiyah (yang tidak boleh berpegang dengan satu pandangan sahaja) bukanlah suatu kemungkaran [1]kerana ijtihad kadang-kadang benar, kadang-kadang salah, lantaran ia berubah seiring dengan perubahan zaman, tempat, adat masyarakat dan kondisi semasa.[2]

Adapun perbuatan haram yang mengundang dosa kecil (as-Sagha’ir), sesungguhnya ia mengandungi keringanan (rukhsah) dalam pencegahannya. (Lantaran Allah Taala berfirman : “Jika kamu menjauhi dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahan (dosa-dosa kecilmu)”. Ia juga bias terhapus dengan amal-amal soleh sebagai dimaksudkan al-Qur’an : “Innal hasanaat yuzhibna as-sayyia’at)


Kemungkaran itu jelas, serta diketahui dan dilihat oleh khalayak umum (manusia) (mafhum perkataan “man ra’a minkum”
- maka kemungkaran yang tersembunyi dari pengetahuan massa atau tertutup pintunya janganlah dibuka atau diintip-intip, seperti memasang kamera atau menceroboh rumah untuk tujuan mengangkap basah si pelaku. Lantaran hadis menyebut perkataan “melihat”, bukan “mendengar” atau yang sewaktu dengannya. Di sinilah letakknya keadilan dan keaslian Iislam dan kelebihan ummat Muhammad, kerana menyerahkan hukuman orang-orang yang berbuat kemungkaran secara tersembunyi hanya kepada Allah Taala yang Maha Melihat. Sesungguhnya tidak ada manusia yang diberikan hak untuk menyingkap tabir kemungkaran yang dibuat secara senyap lagi tersembunyi. Dan sesungguhnya Azab Allah Taala walaupun suatu bala besar, ia lebih banyak diringankan kepada perbuatan-perbuatan tersembunyi berbanding yang dilakukan secara terang-terangan seperti berpesta sebagaimana kaum Luth a.s dan kaum-kaum yang dihancurkan oleh Allah Taala dahulu.

Nabi SA.W menyebut : “Setiap ummatku berhak mendapat perlindungan kecuali orang yang berbuat maksiat secara terang-terangan (dilihat dan dipertonton kepada orang lain)”.[3] [4]

Kemungkaran tersebut betul-betul terjadi pada saat itu, yakni tidak terjadi pada masa silam atau pada masa akan datang

Al-Imam Ghazali dalam Iihya Ulmuddinnya menyebut bahawa memperbaiki kemungkaran dengan tangan bererti menggunakan kekuatan atau dengan perang yang merupakan peringkat tertinggi, yang tidak diperbolehkan melakukannya melainkan pada pihak-pihak yang mempunyai kekuatan dan kekuasaan sahaja. Maksunya hendaklah ia mempunyai kekuatan sama ada kekuatan material ataupun moral, secara peribadi ataupun berpasukan, sehingga kemungkaran itu mampu dihilangkan dengan mudah. T

4. Tidak ada kekhuatiran akan timbulnya kemungkaran yang lebih besar.
Tidak boleh juga merubah kemungkaran tetapi akibat dari itu timbul kemungkaran yang lebih besar atau sama tarafnya, seperti pertumpahan darah orang-orang yang tak berdosa, perlanggaran hak asasi manusia, rampasan harta kekayaan sehingga membawa kerosakan ke atas muka dunia. Atas dasar inilah para ulamak menetapkan bahawa suatu kewajipan menahan diri dari bertindak ke atas kemungkaran yang memungkinkan dari tindakan itu timbulnya kemungkaran yang lebih besar. Suatu hadis Nabi S.A.W menyebut kepada Aisyah selepas Fathu Makkah: “Andaikata kaumku tidak berada (terlalu lama) dalam kejahilan, nescaya akan kuhancurkan Kaabah ini, dan kubangunkan kembali binaan asalnya sebagai dibina Ibrahim.” . Dan yang lebih mengukuhkan saranan di atas adalah apa yang diluahkan Nabi Harun apabila dicemuh saudaranya Nabi Musa a.s kerana membiarkan kaum Bani Israel mengikut Samiri menyembah patung Baqarah sepanjang ketiadaannya, di mana jelas Harun mengutamakan kesatuan umat ketika itu tatkala Musa tidak ada untuk mereka dipimpin. [5]

Al-Qardhawy menyebut lagi bahawasanya masyarakat Muslim kini meniti era kemunduran dan penjajahan Barat, di bawah kezaliman regim dictator dan sekularisme yang berkuasa, maka ini adalah kerosakan yang luar biasa. Dalam memperbaikinya, ingatlah bahawa tidak memadai hanya sebahagian kecil (partial) kemungkaran itu sahaja yang dibanteras, seperti membanteras konsert muzik, perempuan yang mempertontonkan dirinya di hadapan umum, atau memerangi kaset dan video yang berunsur maksiat. Sesungguhnya bukan tahap itu sahaja permasalahan kita, bahkan masalah ini lebih besar dan berangkai lagi berakar, yang perlu perubahan menyeluruh. Perubahan yang merangkumi pemikiran dan pemahaman, ideology, tradisi, akhlak perbuatan, undang-undang dan hokum. Perubahan umat yang mesti bermula dari dalam ke luar, dari bawah ke atas, bukan sebaliknya, dengan pengarahan keutamaan kepada sector pendidikan (tarbiyah)dan uswah hasanah. Hanyasanya jika mereka sudah mampu merubah diri mereka masing-masing sahaja, datangnya janji Allah untuk merubah nasib dan keadaan bangsa dan kaum mereka. [6]

Sabar Menghadapi Kezaliman Pemerintah

Al-Qardhawy[7]telah menyarankan dalam tulisan-tulisannya yang sarat dengan hadis-hadis sahih yang manganjurkan kesabaran mengahdapi kezaliman pemerintah.[8] Memadai dipetik di sini hadis dari Auf bin Malik Al-Asyja’ie bahawa beliau mendengar Nabi S.A.W bersabda : “Sebaik-baik pemimpinmu adalah yang kamu cintai dan mereka mencintaimu, maka kamu berselawat ke atas mereka dan mereka berselawat ke atas kamu. Dan sejelek-jelek pemimpinmu adalah yang kamu bencinya dan mereka membencimu, kamu melaknatinya dan mereka melaknatimu.” Auf berkata, kami bertanya :”Wahai Rasulullah, apakah kita tidak boleh menentang mereka ketika itu?” Jawab Rasulullah : “Tidak, selama mereka mendirikan solat di antara kamu. Ingatlah barangsiapa yang diperintah oleh seorang wali (penguasa), kemudian melihatnyanya berbuat maksiat kepada Allah, maka bencilah kerana perbuatan maksiatnya itu kepada Allah, dan janganlah sekali-kali melepaskan tangan (tanggungjawab) dari ketaatan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Al-Qardhawy menyebut bahawa wujudnya golongan radikal ekstremism kalangan muslim adalah kerana salahfaham mereka dalam memahami usul tafsir al-Quran dan al-Hadis itu sendiri, sehingga mereka menggeunakan jalan kekerasan dengan berdalilkan nas-nas al-Qur’an yang termasuk dalam bab al-Umumat (umum) dan al-Mutlaqat (mutlak), yang perlu dikhususkan dan dikaitkan dengan nas-nas yang lain, iaitu nas-nas yang memerintahkan agar bersabar dalam menghadapi kezaliman pemerintah (yang beragama Islam)selama belum tampak dan zahir darinya kekafiran.

Akhirnya. Al-Qardhawy menutup bab ini selepas mencela terrorisme yang dilakukan oleh mereka yang bertopengkan Islam dan menegaskan Islam agama keamanan dan keselamatan, beliau menyebut bahawa hanya satu sahaja jalan kekerasan yang disyariatkan iaitu kekerasan menghadapi penjajahan ketenteraan kafir atau melihat kekafiran yang jelas[9], sebagaimana penjajahan Israel di Palestin, Serbia di Bosnia dan Kosova, India di Kashmir dan selainnya. Itulah keputusan yang telah diambil oleh Ahlul Halli Wal Aqdi bagi orang-orang yang perlu dan mampu mengangkat senjata, tidak hanya berdiam diri membiarkan kekacauan dan pembunuhan bermaharajalela. Ini pun masih ada batasnya sebagai batasan jihad dan mengikut kadar yang termampu sahaja, tidak melampaui batasan dan tidak mendedahkan diri kepada kehancuran[10].
[1] Sila rujuk pendapat para ulamak dalam kitab Al-Qardhawy:”Kkaifa Nata’amul ma’a turas wa tamazzahab wal ikhtilaf, maktabah wahbah, cairo
[2] Al-Qardhawy mengungkapkan : “Berapa ramai kalangan jumhur (majority) tidak mampu menjatuhkan pendapat minority, walaupun hanya seorang sahaja, selama ia seorang mujtahid. Berapa banyak pendapat yang tidak terkenal pada suatu masa menjadi terkenal pada masa lainnya. Dan berapa banyak pendapat seorang faqih yang dilemahkan, kemudian datang selepasnya yang membenarkan dan menguatkannnya sehingga menjadi pijakan dan landasan fatwa.”

[3] Hadis muttafaq alaihi dari Abu Hurairah, kitab Al-Lu’ Lu’ Wal Marjan, 1883
[4] Suatu peristiwa lucu pernah dialami oleh Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a, yang dikisahkan oleh Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin dalam bab Al-Amr bil Makruf wan Nahyu Anil Mungkar. Pada suatu ketika, Umar memanjat rumah seseorang, kemudian terlihat olehnya sesuatu yang makruh berlaku, lantas beliau pun menyanggah perbuatan tersebut. Maka berkatalah pemilik rumah itu : “Ya Amirul Mukminin, kalau saya hanya bermaksiat dengan Allah dalam satu sisi, maka tidakkah anda telah berbuat maksiat dalam tiga sisi ?” Umar berkata : “Apa maksudmu ?”. Pemilik rumah berkata : Allah berfirman : “Janganlah kamu mengintai-intai !” (Al-Hujurat : 12), maka anda sekarang telah mengintai saya. Dan Allah berfirman : “Dan masuklah ke rumah-rumah itu dari pintunya !” (Al-Baqarah :189), maka anda sekarang telah masuk (memanjat) dari bumbung atas. Dan Allah berfirman : “Janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya (An-Nur : 27), maka anda sama sekali tidak memberi salam.” – Ihya Ulumuddin, 7/1218, terbitan Asy-Sya’b, Cairo
[5] “Harun menjawab : “Hai saudaraku, janganlah kamu pegang janggutku dan janganlah pula kepalaku (tanda kemarahan yang amat sangat), kerana sesungguhnya aku bimbang kamu akan berkata sebaliknya pula padaku : “Kamu telah memecahbelahkan Bani Iisrail dan kamu tidak memelihara amanahku.” – Thaha : 92 - 94
[6] mafhum Ar-Ra’du : 11
[7] yang terkenal dengan kelantangan suratnya kepada pemimpin-pemimpin dunia agar ditegakkan syariat Islam sehingga dilabel oleh kelompok Zionis Israel sebagai ketua pengganas Islam
[8] termasuk dalamnya apa yang ditulis dalam kitab “Muntaqa Al-Akhbar”, dan diulang oleh Asy-Syaukani dalam Nailul Authar dalam judul “Bab Kesabaran Menghadapi Kezaliman Penguasa dan Tidak Memeranginya serta Mencegah Terjadinya Gencatan Senjata.”
[9] Mafhum hadis muttafaq alaihi : “Sehinggalah kamu melihat kekufuran yang jelas. Maka dalam hal itu, telah datang bukti dari Allah untuk kalian.”
[10] Mafhum al-Baqarah : 195

0 Comments:

Post a Comment