Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About


Dalil Menyambut Maulid

Semasa saya menghadiri satu solat jenazah di Pertubuhan Kebajikan al-Khaadem malam tadi, sejurus selesai pelaksanaan solat, datang seorang lelaki bertanya tentang dalil menyambut maulid. Beliau mengatakan ada di kalangan para ustaz yang mengatakan sambutan maulid mempunyai dalil daripada hadith Nabi s.a.w. Dalil tersebut ialah hadith di mana Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasanya pada hari Isnin lalu Baginda menjawab, “Pada hari itu aku dilahirkan…”
Tiba-tiba perbincangan kami terputus kerana perbualan dan sapaan daripada jemaah lain. Apabila pulang, teringat saya kepada persoalan itu. Justeru, saya rasa terpanggil untuk membincangkan perkara ini seperti berikut:
Pertama sekali, tentang dalil menyambut memang ada iaitu hadith berikut:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صوم الاثنين ؟ فقال " فيه ولدت . وفيه أنزل علي " .
صحيح مسلم (1162)

Maksudnya: Bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari Isnin. Maka baginda bersabda, “Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itu diturunkan wahyu kepadaku.”
Kedua, berkenaan dengan pendalilan ataupun cara menggunakan dalil yang sahih itu. Perkara ini ada dua sudut iaitu sudut betul dan sudut salah:
Adapun sudut betul, sekiranya kita ingin menyambut kelahiran Nabi s.a.w. dengan amalan yang terdapat dalam hadith itu iaitulah berpuasa pada hari Isnin.
Berkenaan sudut salah pula ialah apabila hadith itu digunakan untuk amalan yang tidak terkandung dalam hadith itu. Antara amalan yang tidak terkandung dalam hadith itu ialah perarakan dan pembacaan puisi yang tidak berdasarkan maklumat ilmiah bahkan terdapat di dalamnya kenyataan-kenyataan yang menyalahi asas-asas ilmiah bahkan menyalahi logik akal yang sihat.

Perhatian: Adapun ceramah yang diadakan khusus apabila datangnya bulan Rabi‘ul Awwal, apabila kita lihat dengan teliti, kita akan dapati ceramah-ceramah itu adalah pada asalnya ceramah yang bersifat rutin yang tetap akan dilaksanakan juga pada bulan-bulan lain. Cuma, ceramah-ceramah itu bersifat istimewa disebabkan keistimewaan sambutan Maulid di Negara ini. Justeru, apapun tanggapan pendakwah samada sambutan itu sesuai ataupun tidak, tetap para pendakwah harus mengisi pelawaan ceramah-ceramah itu dengan pengisian yang ilmiah. Janganlah diisi ceramah-ceramah itu dengan huraian tentang Nur Muhammad yang hanya berasaskan hadith palsu! Di samping itu, hendaklah para pendakwah menekankan perihal ikutan terhadap Rasulullah s.a.w. dan penolakan terhadap amalan-amalan baru dalam Islam yang menyalahi sunnah junjungan mulia kita Nabi Muhammad s.a.w.
Semoga mendapat manfaat.


Posted by Fadlan_Mohd_Othman , Pensyarah Jabatan Al-Quran & Al-Sunnah
Labels: Isu Semasa, Sunnah, Tuntutan al-Sunnah dalam bulan-bulan Islam

0 Comments:

Post a Comment