Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About


Bagi menyempurnakan kajian ini, langkah menganalisis data dan maklumat berdasarkan kajian-kajian lepas telah dijalankan. Hasil kajian mendapati hanya satu kajian ilmiah di peringkat sarjana muda dihasilkan di Fakultas Ushuluddin UIN Sunan Kalijaga Yogyakarta berkaitan dengan al-Falah dan al-Fauz dalam al-Qur’an. Kajian ini berbentuk kajian ‘studi ma’ani al-Qur’an’ di bawah tajuk al-Falah dan al-Fauz dalam al-Qur’an (Agus Yulianto NIM 2009) . Bagi penulis, kajian ini merupakan perintis kajian yang mencari dan membentangkan definisi dan pengertian kedua-dua perkataan tersebut dengan menggunakan metode semantik iaitu kajian analitik terhadap istilah-istilah kunci suatu bahasa dengan suatu pandangan yang akhirnya sampai pada pengertian konseptual atau pandangan dunia masyarakat yang menggunakan bahasa itu dan dalam kajian ini juga mengkaji tentang apa, bagaimana, serta siapa yang akan mendapatkan al-falah dan al-fauz dalam al-Qur’an. Justeru, penulis optimis sewajarnya kajian dan perbahasan yang lebih mendalam diteruskan lagi sekaligus meletakkan hubungkait konsep al-Falah dan al-Fauz dalam membentuk modal insan berintegriti. Apa yang membezakan kajian lepas dengan kajian yang bakal dijalankan ini adalah perbahasan yang dilakukan adalah lebih bersifat semasa dan praktikal menjurus kepada golongan sasaran yang menggerakkan nadi pembentukan modal insan seperti golongan pendidik, ibu bapa, pemimpin masyarakat, kaunselor, perunding motivasi dan sebagainya.

Terdapat satu kajian ilmiah di peringkat sarjana Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia yang mengupas tentang satu kumpulan ayat al-Qur’an sahaja yang berkaitan dengan penggunaan kalimah al-Falah dalam al-Quran iaitu kajian oleh Siti Salmiah bt Mahfudz (2001) yang bertajuk Huraian surah al-Mukminun ayat 1 hingga 11: Satu Kajian terhadap Pengamalannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Jemaah Pelabuhan Klang. Namun, perbahasan kajian ini hanya melibatkan pemilihan satu kumpulan ayat al-Qur’an sahaja yang berkaitan dengan al-Falah serta melibatkan kajian lapangann terhadap sekolah berkenaan sahaja sedangkan masih banyak dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang menyentuh kedua-dua konsep ini yang perlu diteroka sekaligus membuktikan kajian ini sangat penting untuk diteruskan.

Penulis turut menganalisa data-data kajian-kajian lepas yang menyentuh aspek pembentukan modal insan. Namun, masih tiada kajian ilmiah yang menyentuh secara khusus melibatkan konsep al-Falah dan al-Fauz dalam membentuk modal insan yang unggul. Terdapat satu kajian ilmiah di Universiti Malaya yang hanya menyentuh berkaitan pembangunan insan iaitu Pembangunan Insan : Kajian Perbandingan antara al-Ghazali dan Ibnu Khaldun (Muhd Rusli Hussain 2003). Kajian ini hanya mengupas perbandingan pandangan dan perincian perbahasan aspek pembangunan insan yang digagaskan oleh Imam al-Ghazali dan Ibnu Khaldun. Selain itu, terdapat kajian yang dilakukan oleh Nurullah Kurt (1997) iaitu Manhaj al-Quran fi bina’ al-Ummah (Dirasah Mawdhu’iyyah fi surah al-Nisa’) lebih memfokuskan kaedah pembinaan ummah berdasarkan manhaj al-Qur’an dalam surah al-Nisa’ sahaja. Manakala kajian yang dilakukan oleh Armen Mukhtar (1998) di bawah tajuk Konsep Pendidikan dalam al-Qur’an pula menjurus kepada ruang lingkup perbincangan aspek-aspek pendidikan dalam al-Qur’an khususnya bagi mendidik dan mentarbiyah manusia mengikut acuan al-Qur’an.

Justeru, keunggulan mukjizat al-Qur’an telah mengajak manusia berusaha mentadabbur makna sebenar setiap kalimah yang terkandung dalam al-Qur’an khususnya dalam usaha memberi kefahaman tentang apakah erti kejayaan yang sebenar yang perlu dicapai oleh setiap manusia yang ditaklifkan sebagai khalifah di muka bumi ini. Atas dasar kepentingan inilah membawa kepada pengkajian dan perbahasan mendalam yang akan dijalankan khususnya merujuk konsep al-Falah dan al-Fauz dalam al-Qur’an dan kehujahannya dalam al-Sunnah sebagai mengakui Rasullullah s.a.w sebagai pentafsir utama kitab suci al-Qur’an yang mulia. Sebagai perunding motivasi muda yang turut mengambil peluang menimba pengalaman dan ilmu daripada pakar motivasi negara Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, penulis turut meletakkan sasaran bahawa hasil kajian ini mampu menjadi satu petanda aras kepada pembentukan modul-modul pembangunan modal insan yang berpaksikan rujukan utama peninggalan Rasulullah s.a.w iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Keberhasilan kajian ini akan membuka jalan ke arah pembentukan modul khusus berkaitan pembangunan modal insan yang unggul yang menepati kehendak al-Qur’an dan al-Sunnah bagi mengembalikan semula kegemilangan Islam yang telah menakluk dua pertiga dunia bahkan kajian akan diperincikan dalam kajian ilmiah penulis di peringkat doktor falsafah . Semoga usaha murni ini mendapat restu dan petunjuk Allah s.w.t sebagai Pencipta kita dan mampu mengajak manusia kembali kepada fitrah kejadian yang suci..

0 Comments:

Post a Comment