Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Pertamanya, thanks sahabatku Ainul Mardhiah atas artikel yang cukup bermakna ini..izinkan ana copy & paste kat blog ana ni buat tatapan ana dan pembaca sekalian..Jarang saya ambil artikel dari blog lain, namun beberapa hari saya menatapnya, saya tertarik untuk manjadikan ia sebagai salah satu koleksi Motivasi Perjuangan..

Berikut adalah petikan post 'Ainul Mardhiah'......

Ingin saya kongsikan bersama sahabat2 bagaimana kehidupan Ummu Muhammad (zaujah kepada As-Syeikh Sa'id Hawwa) sepanjang bergelar isteri kepada seorang pejuang..

Artikel ini diterbitkan hasil pertemuan sekumpulan Muslimat Malaysia bersama Ummu Muhammad pada tahun 2000.

BAGAIMANAKAH KEHIDUPAN SYEIKH SA'ID HAWWA SECARA TERPERINCI?

Syeikh Rahimahullah amat sibuk dengan urusan dakwah sejak sebelum berkahwin lagi.Oleh itu,selepas berkahwin beliau berusaha meluangkan masanya untuk bersama anak-anaknya dan berbincang dalam pelbagai isu serta mendidik mereka dalam urusan agama dan kemasyarakatan.
Anak-anaknya masih kecil ketika beliau dipenjarakan selama 5 tahun pada 1973 hingga 1978.Lalu saya memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan ketika itu dikurniakan 4 orang anak,3 lelaki dan seorang perempuan-Muhammad,Ahmad,Mu'az,dan Fathimah,Alhamdulillah.

Sesungguhnya Allah mengurniakan bantuan kepada saya sehingga mampu memberikan didikan agama buat anak-anak.Justeru,apabila beliau keluar dari penjara maka beliau mendapati anak-anaknya telah membesar di bawah tarbiyah yang baik.

Setiap pagi,beliau akan meluangkan masa bersama anak2 dan kadangkala sekitar pukul 9 ke 10 malam.Manakala waktu selebihnya adalah untuk urusan dakwah,menulis dan mengarang.Saya akan membantunya dalam beberapa aspek: Jika dia mengarang maka saya akan menaipkan untuknya dan Alhamdulillah kami mampu menghasilkan beberapa kitab.Beliau juga tidak pernah mengabaikan aspek tarbiyah anak-anaknya bahkan memperuntukkan satu hari setiap minggu untuk berkelah dan sepanjang perkelahan tersebut beliau akan mengadakan perbincangan dan sebagainya dengan anak-anak.Kebiasaannya kami berkelah pada hari Khamis manakala hari Jumaat kami akan berada di rumah.

Hakikatnya sesiapa yang mengatur waktunya , pasti dia akan mendapat faedah yang banyak dari aturan tersebut.


BAGAIMANA PERASAAN UMMU MUHAMMAD KETIKA SYEIKH RAHIMAHULLAH DITANGKAP DAN DIPENJARAKAN?

Ketika itu,harapan dan pergantungan saya hanyalah pada Allah dan saya tidak sekalipun hilang kawalan diri. Harapan saya agar beliau segera keluar dari penjara dan boleh menyambung semula kerja-kerja dakwah beliau. Saya tetap meneruskan pendidikan terhadap anak-anak sebagaimana biasa dan menggunakan pelbagai wasilah pendidikan seperti kaset-kaset Al-Quran dan kisah-kisah Agama.

Mereka mula menghafaz Al-Quran ketika berusia 5 tahun dan kini,tiga daripada mereka telah pun Hafiz AL-Quran malah mempraktikkan isi kandungannya,Alhamdulillah.Selepas 2 bulan beliau keluar dari penjara ,adiknya Mahmud , seorang pemuda soleh, melihat beliau di dalam mimpi dibunuh dan mati syahid.

BAGAIMANAKAH BENTUK KEHIDUPAN UMMU MUHAMMAD DAN SYEIKH RAHIMAHULLAH SEBAGAI PASANGAN SUAMI ISTERI?

Kami sama2 memanfaatkan masa dan menunaikan haknya dan tidak wujud sebarang pembaziran.

Contohnya,jika kamu keletihan,jangan kamu berehat terus,sebaliknya lakukan sesuatu yang menyenangkan dan tidak meletihkan seperti sambil kamu duduk, kamu menulis sesuatu yang berfaedah. Atau letakkan anak kamu di sisi dan kamu ajari mereka sesuatu.Jika dikunjungi tetamu,segerakan penyediaan hidangan mereka. Ataupun jika kamu dikunjungi tetamu secara mengejut, bersedia menyambut mereka. Kesimpulannya, kamu perlu berusaha memanfaatkan waktu.

Kami akan membaca Al-Quran selepas solat Subuh dan kemudian meluangkan masa untuk penulisan selama 2 jam tetapi ini kebiasaannya pada waktu cuti. Jika waktu persekolahan, kami akan menulis sekembalinya dari sekolah jika tiada tetamu yang berkunjung. Jika beliau bekerja sendirian, sibuk dengan membaca kitab-kitab lama, saya akan menjalankan kerja-kerja asas rumah dan mengajar anak-anak.Beliau sentiasa meluangkan masa menziarahi kaum kerabatnya pada hari Jumaat. Inilah rutin kami semenjak kami mendirikan rumahtangga.

Pernah sekali saya mimpikan beliau ketika beliau masih dalam bilik kecil dan sempit di dalam penjara. Dalam mimpi itu seolah-olah saya berdiri di hadapan bilik kurungan tersebut dan pintunya terbuka. Saya melihat cahaya memancar dari bilik tersebut dan timbul ketenangan di hati saya bahawa Al-Quran yang dihafaznya menjadi pembantunya. Beliau dikurung di situ selama 9 bulan dan selama tempoh itu beliau tekun mengulangkaji al-Quran. Tidak berapa lama selepas itu beliau dikeluarkan ke penjara yang lebih besar yang dihuni oleh orang lain.
Selepas 5 tahun beliau dibebaskan dan ramai yang tidak percayakan peristiwa tersebut melainkan setelah melihatnya dengan mata mereka sendiri. Mereka semua meraikan pembebasan Syeikh Rahimahullah di rumah keluarganya.

BAGAIMANAKAH AS-SYEIKH MENGENALI UMMU MUHAMMAD?

Awalnya,saya hanya mengetahuinya ketika di tahun akhir di universiti sedangkan dia ketika itu telah 2 tahun meninggalkan universiti. Saya tidak mengenalinya langsung namun mengetahuinya dari sepupu sebelah ibu saya. Sebelum kami berkahwin, berlaku pelbagai penentangan di Syria, kemudian demonstrasi Hammah, masjid-masjid dibakar dan keadaan ini memaksa beliau berlindung di Iraq selama 2 bulan. Beberapa individu tertentu yang baik hati telah membantunya sehingga diampuni dan dibolehkan memasuki Syria kembali.Sekembalinya dari Iraq, kami terus mendirikan rumahtangga dan menetap di kampungnya, Hammah selama 2 tahun. Kemudian kami ke Saudi selama 5 tahun dan kembali semula ke Syria dan ketika itulah beliau dipenjarakan.

Beliau sering menawarkan saya menemaninya dalam musafir namun saya lebih selesa untuk bersama anak-anak dan meneruskan tanggungjawab saya mendidik mereka. Waktu keluar untuk urusan dakwahnya sering tidak menentu namun saya akan selalu berpesan setiap kali beliau ingin keluar.." ALLAH MA'AK" (ALLAH BERSAMA KAMU) dan apabila tetamu datang ,saya akan ucapkan "Ahlan wa sahlan."

Jika dikunjungi keluarganya, saya akan meraikan dan melayan mereka dengan sebaiknya. Antara sikap beliau yang amat saya fahami adalah beliau inginkan agar ibu bapanya dilayan dengan baik. Begitu juga dengan tetamunya. Ibunya masih ada lagi dan kami sering menziarahinya. Bapanya telah pulang ke rahmatullah 4 bulan lebih selepas Syeikh Rahimahullah meninggal.

APAKAH ATURAN PENDIDIKAN UNTUK ANAK-ANAK UMMU MUHAMMAD?

Pertamanya, suruh anak-anak mengerjakan dan menyelesaikan urusan agama bermula dari aspek Tauhid dan Ibadat.
Ajari mereka Al-Quran dan mulakan dengan Surah Al-Ikhlas sehingga mereka mampu memahami keesaan Allah. Tekankan tentang aspek ibadah seperti solat,puasa, zakat dan haji. Pada masa yang sama aspek akhlak dan pergaulan dididik dengan sebaiknya kerana semua perkara ini perlu dipupuk sejak anak-anak masih kecil.

Tarbiyah dalam aspek ibadah dan agama bila dipupuk sejak kecil, maka bila mereka mencapai usia mukallaf maka mereka tidak akan rasa susah dan tertekan kerana semua perkara tersebut telah menjadi rutin dan resam kehidupan mereka. Pendidikan agama buat anak-anak akan memberi impak pada sudut Akhlak mereka,oleh itu wajib bagi ibu bapa mendidik mereka atas dasar perintah dan suruhan Allah.

Jika sudut Agama pada anak-anak diabaikan ketika mereka masih kecil, maka proses didikan tersebut akan sukar terutamanya apabila mereka mencapai usia 10 tahun atau lebih,dan masalah ini lebih ketara kepada anak-anak perempuan. Komitmen anak-anak dalam berpakaian,menutup aurat,solat dan puasa akan menjadi sukar ketika itu malah penentangan sering berlaku disebabkan tiadanya latihan di peringkat awal.

Suasana didikan yang saya terima dan ketika bersama Syeikh Rahimahullah adalah sama,sama ada dari segi pakaian, kerja dakwah , penulisan, dan menyambut tetamu. Lantaran semuanya atas dasar dakwah dan Islam. Niat kami sentisa , InsyaAllah adalah kerana Allah dan untuk Islam serta atas dasar menegakkan kalimah Allah Ta'ala.

0 Comments:

Post a Comment