Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About

Pada tahun 2002, Zulkifli Ismail, pengasas madrasah Baitul Qurra merangkap Ketua Dewan Ulama PAS Melaka menulis dalam magnum opus-nya Ancaman Bahaya Sekularisme berkenaan kepalsuan aliran keintelektualan semasa seperti aliran islamisasi ilmu dan anti hadis, sebagai peringatan kepada kaum muslimin,

“Hakikat ini perlulah difahami dengan sebaiknya supaya umat islam dapat pula menyelamatkan diri dari kepalsuan dan kesesatan gagasan islamisasi ilmu-ilmu sosial barat yang didukung oleh sebahagian intelektual di Negara-negara umat islam di zaman ini.”

Beliau menyedari kegelapan serta bahaya yang berada disebalik gagasan tersebut. Secara jelas beliau menyebutkan bahawa meletakkan umat islam berpandu kepada apa yang bersifat andaian (zhanni/doubtful) di sisi manusia dengan meninggalkan apa yang diyakini pada akidah dan syariat mereka adalah pekerjaan bodoh yang sedang melanda sebahagian para intelektual dan cerdik pandai yang ditipu syaitan di zaman ini. (Yunus: 36)

DARI RASIONALISME KE LINGUISTIK

Dalam dunia falsafah terdapat dua jalur pemikiran besar yang saling berseberangan iaitu rasionalisme dan empirisme. Dalam perkembangannya, Rasionalisme diusung oleh banyak tokoh, masing-masingnya dengan ajaran-ajaran yang khas, namun tetap dalam satu koridor yang sama. Pada abad ke-17 terdapat beberapa tokoh kenamaan seperti René Descartes, Gottfried Wilhelm von Leibniz, Christian Wolff dan Baruch Spinoza. Sedangkan pada abad ke-18 nama-nama seperti Voltaire, Diderot dan D’Alembert adalah para pengusungnya.

Seperti juga pada Rasionalisme, maka pada Empirisme pun terdapat banyak tokoh pendokong yang tidak kalah popularnya. Tokoh-tokoh dimaksud antaranya adalah David Hume, John Locke dan Bishop Berkley. Para penganut aliran empirisme tentu sahaja menentang kaum rasionalis yang begitu memberikan tempat dan peranan akal dalam proses lahirnya pengetahuan. Mereka mengajarkan bahawa pengetahuan diperoleh menerusi pengalaman.

Kemudian muncul aliran Fenomenalisme Kant yang dikemukakan oleh Immanuel Kant, seorang ahli falsafah Jerman. Dia berusaha keras mendamaikan pertentangan antara empirisme dan rasionalisme. Menurut hemat Kant, dalam proses ilmu pengetahuan unsur rasio dan indera sama-sama berperanan.

Daripada Kant, mengalir fahaman yang cuba mendamaikan antara falsafah Timur dan Barat seperti Schopenhauer. Kemudian Wittgenstein, Deisme, dan Russell mula memperkenalkan falsafah analisis malah mereka cuba memurnikan lagi ilmu pengetahuan supaya kelihatan lebih objektif. Aliran ini mengambil sikap pertengahan (wasatiah) dalam falsafah Barat.

Pada tahun 1920-an pergerakan falsafah logika positivisme (atau logika empirisme) muncul di Austria dan Jerman. Aliran ini berusaha menstabilkan antara analisis logik ilmu pengetahuan saintifik dengan fahaman positivisme Comte yang ilhad, mengulangi semula keneutralan Kant. Falsafah linguistik analisis yang muncul mendorong aliran-aliran Islam ini (seumpama Al-Attas) menyuntik kembali ontologi (worldview/welstanchaung) Islam selepas dipisahkan oleh logika positivisme kerana aliran linguistik dianggap lebih berdisiplin. Disinilah munculnya Islamisasi Bahasa. Disinilah juga letaknya antara seribu satu kedangkalan gagasan islamisasi ilmu sains sosial, iaitu suatu cubaan halus untuk menyelaraskan antara ajaran agama dan ajaran metodologikal Falsafah Barat yang rapuh (atau antara naql dan ‘aql)



International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC): Pusat Pemikiran Islamisasi Ilmu Mazhab Attasian di Malaysia



Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Pendiri ISTAC

Apabila dicermati lebih mendalam, mana-mana aliran yang berguru dengan Barat begitulah kesudahannya. Mereka tidak akan nampak nass syariat Allah Swt. sebagai jalan keluar. Akibat terlalu ghairah dengan kemampuan akal (‘aql/reason), mereka rela menolak petunjuk Qur’an Sunnah dan ijtihad para ulama yang mu’tabar. Para cendekiawan muslim menyebut mereka sebagai jahil murakkabun.

Mereka lebih yakin kepada falsafah dan pemikiran Barat, tapi yang telah menjalani proses desekularisasi (desecularization), dewesternisasi (dewesternization), dan integrasi holistic ilmu (holistic integration of knowledge) menurut teori dan nafsu mereka, lalu memposisikannya sebagai sumber hukum Islam yang ke-5 selepas Qur’an, Sunnah, Ijmaa’, dan Qiyas! Persoalannya, bagaimanakah umat Islam boleh berpandu pada yang bersifat spekulasi (zhanni/doubtful) dan meninggalkan apa yang diyakini pada akidah dan syariat mereka?

Dalam hal ini, tokoh mujaddid islam, As-Syaheed Imam Hassan Al-Banna telah menggariskan panduan dalam Usul Isyrin, iaitu prinsip yang ke 19,


“Terkadang pandangan syar’i dan pandangan ‘aqli tidak dapat saling memasuki wilayah lainnya. Tetapi keduanya tidak akan berbeza dalam masalah yang qath’i. Maka hakikat ilmiah yang benar dan kaedah syar’iyah yang kukuh tidak akan pernah bertentangan. Sesuatu yang bersifat zhanni perlu ditakwil agar sesuai dengan yang qath’i. Apabila keduanya bersifat zhanni maka pandangan syar’i lebih diutamakan untuk diikuti, sehingga yang ‘aqli menjadi benar-benar putus atau gugur sama sekali”

Sebagai contoh mudahnya, dalam penciptaan nabi Adam a.s. Al-quran menyatakan bahawa ia diciptakan oleh Allah Swt., tapi telah dinafikan oleh penemuan ilmiah yang bersifat spekulasi (zhanni/doubtful). Charles Darwin dalam bukunya, The Origin of Species berkata bahawa manusia berkembang daripada air. Ini adalah andaian atau zhanni semata ! Dan belum pernah dibuktikan secara ilmiah hingga ke hari ini. Oleh itu, teori evolusi hendaklah di takwil (ta’wil/interpret) agar tunduk kepada nas Al-Quran yang putus (qath’i/definitive), dan bukan sebaliknya.



The Origin Of Species: Sebuah kajian jenis al-istiqra' al-naqis (imperfect induction) atau penelitian yang tidak menyeluruh kerana memiliki variati yang terlalu banyak dan tidak dapat dicakup semuanya dalam penelitian manusia. Begitu jugalah 'resepi' dalam kajian falsafah sosial Barat.

KRITIK EPISTEMOLOGI DAN METODOLOGI

Pendiri popular aliran islamisasi ilmu sains sosial, atau lebih tepatnya Ismail Raji Al-Faruqi dan Syed Muhammad Naquib Al-Attas sepakat menolak ilmu moden sekular Barat tapi hanyalah sebatas doktrin (ta’alim/doctrine) sahaja. Namun, mereka masih mengekalkan epistemologi (nazariyatul ma’rifah/epistemology) Barat iaitu berdasarkan akal (‘aql/reason) yang terbatas, bukan petunjuk wahyu yang mutawātir (consecutive) dan bersifat pasti (qath’i/definitive).

Sebagai contoh, dalam kajian sosiologi mereka sepakat menolak pendapat yang mengatakan bahawa manusia berasal daripada kera – iaitu teori evolusi. Penolakan ini adalah semata-mata doktrin. Tetapi ketika mereka cuba menghuraikan jalan penyelesaian dalam masalah sosial, ekonomi, dan politik mereka kekal menggunakan akal (‘aql/reason) dan metodologi (qawa’id/methodology) Barat. Menjadikan falsafah sebagai prinsip (usūl/principles) dan agama sebagai cabang (furu’/branches) pula.



The International of Islamic Thought (IIIT): Pusat Pemikiran Islamisasi Ilmu Sains Sosial di Pennsylvania, US




Ismail Raji Al-Faruqi. Pengasas IIIT


Islam berpegang bahawa keupayaan akal fikiran manusia adalah terbatas. Ia tidak mampu memberi petunjuk kepada manusia dalam perkara yang diluar dari peranannya yang telah ditetapkan oleh Allah Swt. itu. “Dan manusia dijadikan bersifat lemah” (an-nisaa’: 28) Hakikat kelemahan akal manusia adalah menjadi nyata dalam dua aspek pengetahuan yang penting. Pertama, aspek pengetahuan yang berhubung dengan perkara-perkara ketuhanan, ukhrawiyyat, dan kerohanian. Kedua, aspek pengetahuan yang berhubung dengan nilai, tingkah laku, dan sistem hidup yang diperlukan oleh manusia bagi mencapai kebahagiaan di dunia.

Dalam masyarakat Islam kelemahan ahli falsafah seperti itu telah didedahkan dengan terangnya oleh Hujjatul Islām Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Tahāfut al-Falāsifa. Beliau berkata antara lain,


“Kami akan mengatakan bahawa tujuan kami hanyalah untuk menunjukkan ketidakmampuan anda untuk menjustifikasikan dakwaan pada pengetahuan realiti wujud dengan hujah konklusif. Kami hendak membuatkan anda meragukan keyakinan anda pada dakwaan-dakwaan anda sendiri. Kini ketidakmampuan anda itu telah jelas, marilah dinyatakan dalam fikiran bahawa ada beberapa orang mempercayai bahawa realiti soal-soal ketuhanan tidak dapat diungkapkan melalui penyelidikan intelektual dan bahawa sebaliknya adalah diluar kemampuan manusia untuk mengungkapkannya.”



John Locke (Inggeris)

Di Barat kesedaran mengenai hakikat kelemahan akal mula disedari khususnya oleh ahli falsafah Empiris pada abad ke-17. John Locke (1632-1704) memetik kembali ucapan Aristotle yang berbunyi,


“Di sana tidak ada sesuatu pun di dalam akal yang tidak dikesani lebih dulu daripada pancaindera”


Ada satu kelemahan yang paling menonjol dalam metodologi sains sosial iaitu tiadanya suatu ukuran pembuktian rasional yang pasti, definitif kata bahasa sekarang. Maka sebagaimana ahli falsafah Metafizik, ahli falsafah dan kajian sosial sehingga setiap aliran yang sama itu berpecah pula kepada beberapa aliran yang berlainan. Perlu difahami bahawa kajian falsafah dibidang kemanusiaan dengan tujuan menyingkap cara hidup yang terbaik baginya telah dikembangkan pada abad ke-18 sehingga ke hari ini oleh ahli falsafah materialis secara meniru kaedah pendekatan dan pembuktian dalam ilmu sains tulen.

Percubaan dilakukan dalam tiga cabang. Pertama, dalam penciptaan ilmu sosiologi melalui pendekatannya oleh Comte. Kedua, falsafah moral khususnya aliran pragmatisme. Ketiga, ilmu psikologi yang diasaskan oleh Frued. Percubaan ini sebenarnya bertujuan menjauhkan agama dari terus memberi pengarahan kepada hidup manusia dengan cara menggantikan ilmu-ilmu sosial ditempat agama!

Kegagalan usaha titik peluh ahli falsafah Barat ini telah didedahkan oleh Dr. Mahmud Othman dalam bukunya dibawah fasal bertajuk “Bahawa Agama Adalah Satu Kemestian Bagi Memandu Manusia di Dalam Tingkah Lakunya dan Dalam Menyusun Masyarakatnya”,


“Dan sekarang kita telah sampai kepada beberapa kesimpulan yang penting iaitu; bahawa ilmu sosiologi telah gagal sepenuhnya dari sudut teori dan perlaksanaan. Ia telah gagal untuk meletakkan hukum bagi tingkah laku manusia yang menepati kaedah hukum sains tabii, dan ia juga tidak berjaya untuk mengukur kenyataan yang berlaku dalam masyarakat, kerana disebabkan semua itu adalah kenyataan-kenyataan kemanusiaan yang tidak mungkin ditundukkan kepada bentuk ukuran silogisme yang terperinci. Dan semenjak zaman Comte hingga ke hari ini, ahli sosiologi tidak berdaya untuk mengatasi masalah ini. Apa yang dapat mereka simpulkan adalah bahawa kemajuan di bidang imu ini dikelilingi oleh pelbagai kerumitan. Dan mereka sekalipun sehingga ke hari ini telah gagal untuk mencapai suatu hukum sains yang terperinci, atau telah gagal menilai kenyataan-kenyataan sosial dengan penilaian dan ukuran yang tepat, masih terus meletakan harapan pada masa akan datang dengan kemajuan ilmu yang lahir pada ketika yang memungkinkan mereka untuk mengatasi kerumitan-merumitan itu tadi.”

Kelemahan-kelemahan ketara falsafah sosial Barat disebabkan oleh enam perkara berikut. Pertama, falsafah tidak mempunyai sebarang ukuran untuk membezakan antara kebenaran dan kesesatan, antara yang betul dan yang salah. Kedua, selama mana falsafah tidak mempunyai suatu ukuran (pembuktian yang boleh dipercayai) untuknya, maka selama itulah buah fikiran falsafah adalah andaian (spekulasi) semata-mata. Ketiga, selama mana tiada jalan untuk sampai kepada suatu keputusan yang diyakini dalam mana-mana persoalan falsafah maka adalah suatu perkara yang pasti bahawa perselisihan pendapat di bidang falsafah adalah berterusan. Keempat, selama mana perselisihan pendapat berterusan di bidang falsafah maka masalah yang merupakan tajuk perbincangan falsafah akan terus serupa dan sama sahaja. Kelima, perselisihan falsafah adalah meratai keputusannya sama ada yang berbentuk negatif, positif, atau keduanya sekali. Dan akan berkesudahan dengan penafian atau penetapan yang mutlak dalam semua masalah. Keenam, sebagai rumusan daripada perkara-perkara sebelumnya, falsafah pada hakikatnya tidak memiliki sebarang pendapat pun baginya (iaitu pendapat yang boleh menjadi sandaran).

KESIMPULAN DAN PENUTUP

Perlu difahami bahawa hakikat kekeliruan gagasan islamisasi ilmu atau gagasan penyelarasan serta semua kesesatan pemikiran zaman ini adalah berhubung langsung dengan sifat lemah dan terbatasnya akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah Swt. kepada manusia. Maka menurut perspektif islam yang sebenar, Islamisasi Ilmu Sains Sosial Barat tidak akan bermakna selain dari menolak segala kesimpulan sosial yang dibina atas sandaran yang bersifat andaian, dan membebaskan segala percubaan mendamaikan kesimpulan sosial yang dibina atas sandaran yang bersifat andaian itu sama ada dari aspek epistemologi maupun metodologinya. Islamisasi Ilmu dengan makna yang lain dari itu, tidak akan beerti selain dari suatu percubaan halus untuk menundukkan Islam kepada khayalan-khayalan ilmu sosial Barat yang dikagumi oleh para intelektual zaman ini. Bagaimanakah mereka hendak menegakkan kebenaran dengan berpandu kepada kesesatan?

Ada pula yang kurang sihat akalnya, mengakui bahawa ajaran dari pemikir Barat itu ada yang sesuai dengan Islam justeru harus didamaikan (atau diislamisasikan). Padahal kalau mereka berfikir sihat, kalau memang ajaran lain itu sebahagiannya sesuai dengan Islam, mengapa tidak Islam yang turun dari langit ini saja yang mereka pertahankan?




Imam Al-Ghazali: Tokoh Pemikir Besar Islam

Adalah jelas sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Al-Ghazali dalam Munqiz Min ad-Dhalal (Pembebasan Dari Kesesatan) bahawa ahli falsafah itu berbincang mengenai persoalan kemanusiaan dan nilai bukanlah diambil dari kajian falsafah dan pemikiran akal mereka tapi dari petunjuk dan ajaran agama yang ditiru dan dicedok oleh ahli falsafah tersebut, atau disebut sebagai stolen legacy. Jadi sekali lagi saya ingin bertanya, mengapa tidak ajaran Islam yang turun dari langit (khabar shādiq) ini saja yang mereka pertahankan?

Wallāhua’lam.


Bibliografi:

Ancaman Bahaya Sekularisme oleh Zulkifli Ismail
Islam and Secularism oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas
Wikipedia Free Ensiklopedia
Tahafut al-falasifa (Kekacauan Para Filsuf) oleh Al-Ghazali
Islamization of Knowledge General Prinsiples and Work Plan oleh Al-Faruqi
Kubral al-Yaqiniyyat (Keyakinan yang Hakiki) oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti
Syarah arkanul bai’ah (1) Rukun Al-Fahmu oleh Dr. Ali Abdul Halim Mahmud

0 Comments:

Post a Comment