Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About

[ ِ بِسمِ ٱلله الرَّحْمٰنِ الرَّحِيـمِ]

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

a. Dengan nama Allah (Bismillah)

Apabila kita memulakan bacaan dengan nama Allah, sebagai hamba-Nya kita merasa betapa kita memerlukan kepada Tuhan, Tuhan yang Satu, yang tiada tuhan selain-Nya, dan Dialah: “Allah”, tiada yang berhak dinamakan dengan nama “Allah”, hanya Dia yang memiliki nama ini, Allah…

Dengan nama Allah.. kita menyebut nama-Nya dalam semua perbuatan, untuk memulakan sesuatu perkara, untuk mendapat keberkatan daripada-Nya, hanya Dia, Yang Maha Esa, tiada Tuhan yang berhak disembah, melainkan Dia. Kita sebagai hamba yang lemah memohon dengan menyebut-nyebut nama-Nya, “bismillah” (dengan nama Allah…).

b.. Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang… Setelah kita mengetahui hakikat bahawa manusia tidak kira siapa pun dia, apa pekerjaannya, raja atau jaga, guru atau pelajar, siapa pun dia… manusia hanyalah seorang hamba yang lemah, yang sangatlah memerlukan kepada-Nya… menyebut-nyebut nama-Nya sentiasa…

Tahukah kita apa nama-Nya selain Allah? Apa sifat-Nya? Bagaimana hubungan-Nya dengan hamba-Nya?

“Ar-Rahma..n, ar-Rahi..m” Dialah Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.. yang penuh dengan rahmat, kasih sayang, belas kasihan, pemurah, memberi dan memberi kepada manusia pelbagai nikmat yang tidak terhitung, yang tidak terhingga, yang kadang-kadang disedari oleh manusia, dan kadang-kadang tidak disedarinya..

Siapakah yang lebih pemurah, yang lebih penyayang daripada Allah? Tiada! Tiada! Hanya Dia! Inilah hubungan antara Allah dan hamba-Nya, antara Pencipta dengan ciptaan-Nya… hubungan kasih dan sayang, rahmat dan nikmat… Semua makhluk ciptaan-Nya mendapat udara, makanan, kehidupan…dan sebagainya yang tak terkira…

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.. Sebagai seorang Muslim, yang mendapat hidayah dan petunjuk-Nya, menjadi seorang Muslim, solat dan solat… kita berdiri mengahadap-Nya ketika solat.. Membaca ayat pertama surah al-Fatihah, menyedari betapa kita ini hamba-Nya, memulakan setiap perkara dengan nama Allah, dan Allah itu Maha Pemurah, Penyayang dan Pengasih terhadap hamba-hamba-Nya…Lalu dengan penuh kesyukuran, dengan penuh rasa terima kasih, rasa terharu dengan pemberiaan-Nya, rahmat-Nya, nikmat-Nya, hidayah-Nya, dan petunjuk-Nya, kita mengatakan pula:

[ ِ ٱلْحَمْدُ للَّهِ رَبِّ ٱلْعَالَمِينَ]

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam…

a. Segala puji bagi Allah

Segala pujian hanyalah untuk Allah… kerana itu , apabila kita mendengar orang memuji kita, “awak cantik”, “awak pandai”, “awak baik” … kita mengatakan Alhamdulillah, segala pujian itu hanya milik Allah, Allahlah yang memberi nikmat cantik, pandai, baik, dan pelbagai nikmat yang tidak terhitung… Alhamdulillah yang telah memberi kita nikmat hidayah petunjuk, lalu kita menjadi seorang Muslim, yang mengaku hanya Dialah Tuhan yang berhak disembah, Tuhan sekalian alam…

b. Tuhan sekalian alam

Allahlah tuhan yang menciptakan seluruh alam, mentadbirnya, menguruskannya, menjaganya… Alhamdulillah Allah tidak meninggalkan kita dan seluruh alam, Alhamdulillah Allah tidak membiarkan kita dan seluruh alam begitu sahaja, Alhamdulillah Dialah yang menciptakan alam ini dan menguruskannya. Siaapkah yang dapat menguruskan sesuatu dengan lebih baik daripada penciptanya sendiri? Penciptalah yang Maha Tahu tentang ciptaan-Nya, apa kelebihan dan kelemahan ciptaan-Nya, apa yang terbaik buat makhluk-Nya…dan segala-galanya, maka Dialah pengurus terbaik dan pentadbir terbaik… dan Alhamdulillah Dia tidak memberikan alam ini untuk diuruskan dan ditadbirkan sepenuhnya oleh mana-mana makhluk-Nya, malah, Alhamdulillah Dia sendirilah pentadbir yang mutlak terhadap ciptaan-Nya. Alhamdulillah Allah Yang Menguasai seluruh alam ini, Dia yang Maha Kuasa bersifat dengan Maha Pemurah dan Penyayang… lalu kita mengulang semula nama-Nya yang melambangkan keluasan dan kebesaran rahmat-Nya…

[ ِ ٱلرَّحْمـٰنِ ٱلرَّحِيمِ]

Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Sekali lagi diulangi, Allah itu bersifat dengan Maha Pemurah dan Penyayang, mempunyai rahmat dan kasih sayang yang luas buat hamba-hamba-Nya. Inilah Dia Tuhan Sekalian Alam, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Dia…

[ ِ مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ]

Yang menguasai hari Pembalasan

Dalam ayat ini kita mengaku dan percaya akan adanya hari akhirat. Orang yang beriman dengan hari akhirat amalannya sangat berbeza dengan orang yang tidak beriman dengan hari akhirat. Ini kerana orang yang tidak beriman dengan hari akhirat menyangka bahawa setelah mereka mati maka berakhirlah kehidupan mereka. Mereka mendakwa bahawa kematian adalah pengakhiran segala-galanya. Oleh itu, mereka begitu rakus dan tamak mencari dunia, mereka mahu menikmati kehidupan mengikut hawa nafsu, bagi mereka, hidup hanyalah di dunia. Jika mereka gagal dalam kehidupan dunia dan berputus asa, mereka membunuh diri sendiri kerana menyangka itulah pengakhirannya. Mereka tidak menyedari bahawa mereka akan berada di alam lain pula setelah mati.

Namun, orang beriman yakin bahawa dengan rahmat dan kasih sayang Allah, maka Dia tidak membiarkan hamba-hamba-Nya begitu sahaja tanpa hari pembalasan. Dengan rahmat-Nya Dia menyediakan syurga bagi orang-orang beriman dan beramal soleh. Dengan rahmat dan keadilan-Nya Dia menyediakan neraka buat orang-orang kafir yang mengkufuri nikmat-Nya, yang tidak menghiraukan seruan Islam, yang selalu membuat kerosakan di atas muka bumi, dan menyeksa orang-orang beriman…

Dalam ayat ini, Allah mengingatkan hamba-hamba-Nya agar sentiasa berusaha melakukan amal soleh, tidak berputus asa, sentiasa takut akan kemurkaan-Nya dan mengharapkan keredhaan dan syurga-Nya… Kerana di sana, selepas hidup di dunia pasti akan ada hari pembalasan, hari di mana segala kekuasaan hanya milik Allah.



[إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ]

Hanya engkau yang kami sembah dan hanya engkau kami memohon pertolongan

Setelah menyedari akan adanya hari pembalasan, di mana segala amal manusia akan dibalas oleh Allah. Orang yang beriman dan beramal soleh, dengan rahmat dan kasih sayang Allah maka dia diberi syurga, manakala orang yang kafir dan berbuat kejahatan maka dia diberi neraka. Oleh itu, kita menyatakan bahawa hanya Allah sahajalah yang kita sembah, hanya kepada Dialah kita memohon pertolongan. Segala ibadat ditujukan kepada-Nya, segala bantuan dipohon kepada-Nya.



[ٱهْدِنَا ٱلصِّرَاطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ ]

Tunjukilah kami jalan yang lurus

Dalam ayat ini kita terus berdoa memohon kepada Allah agar sentiasa memberikan taufiq, hidayah dan petunjuk-Nya, terus berada dalam jalan Islam yang lurus dan benar.

[ صِرَاطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِم وَلاَ ٱلضَّآلِّينَ ]

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau murkai (Yahudi), dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat (Nasrani).



Jalan Islam yang lurus ini merupakan satu-satunya jalan yang diberi nikmat oleh Allah di dunia dan di akhirat. Manakala, jalan agama lain pastinya membawa kepada kemurkaan dan kesesatan. Terutamanya agama Yahudi dan Nasrani (kristian).



Inilah penutup bagi surah al-Fatihah. Surah yang sering diulang-ulang di dalam solat.. Inilah ibu al-Qur'an, pembuka al-Qur'an, yang menjadi gambaran @ sinopsis bagi seluruh al-Qur'an.. Kisah mengenai orang-orang yang mendapat petunjuk untuk berada di atas jalan yang lurus yang penuh nikmat ini, dan kisah orang-orang yang sesat, kisah Yahudi dan Nasrani, semuanya diceritakan dalam surah-surah selepas al-Fatihah. Malah, semua surah-surah di dalam al-Qur’an saling berkaitan dan semuanya sebagai petunjuk dan rahmat buat seluruh alam… Maka, marilah kita membaca al-Qur'an sambil menghayatinya

0 Comments:

Post a Comment