Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About

40 Tahun Fakulti Pengajian Islam : Peranannya Dalam Pembangunan Modal Insan Dalam Masyarakat

1.Pendahuluan

Fakulti Pengajian Islam (FPI) telah ditubuhkan pada 18hb Mei 1970 bersama-sama dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Asas penubuhannya bermula dengan penubuhan Kolej Islam Malaya Klang pada tahun 1955 atas hasrat umat Islam supaya institusi pengajian tinggi Islam diwujudkan di tanah air. Pada tahun 1968, Kementerian Pendidikan telah bersetuju menaikkan taraf Kolej Islam Malaya ke taraf universiti kolej. Apabila Univiersiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan Kolej Islam telah diserapkan di bawah UKM sebagai salah sebuah fakulti, bersama dua fakulti lain pada waktu itu iaitu Fakulti Sains dan Fakulti Sastera. Fakulti Pengajian Islam merupakan institusi pengajian tinggi Islam yang tertua di Malaysia yang kelulusannya bertaraf universiti, seperti kelulusan fakulti-fakulti atau universiti lain. Pada masa ini Fakulti Pengajian Islam mempunyai lima buah jabatan iaitu:
• Jabatan Syariah
• Jabatan Usuluddin dan Falsafah
• Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
• Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan
• Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah

Fakulti Pengajian Islam menawarkan program pengajian Sarjana Muda Pengajian Islam dan program pengajian Siswazah iaitu meliputi Program Diploma Siswazah, Program Sarjana dan Program Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang pengajian Islam.


2. Permasalahan Kajian

Kelahiran seorang demi seorang penerima Anugerah Pelajaran Diraja keluaran produk Fakulti Pengajian Islam menyebabkan penulis merasakan satu keperluan mendesak untuk merintis kajian bagi mengkaji sumbangan Fakulti Pengajian Islam kepada pembangunan modal insan sempena 40 tahun penubuhannya. Adakah hanya sekadar melahirkan beberapa orang yang berjaya memperoleh anugerah paling berprestij di Majlis Konvekesyen UKM atau sememangnya Fakulti Pengajian Islam telah berjaya melahirkan ilmuan dan tenaga pakar yang telah memberi sumbangan besar kepada negara. Justeru, antara perincian permasalahan kajian yang perlu diselesaikan dalam kajian ini adalah sebagaimana berikut:

2.1 Adakah pencapaian yang diraih oleh Fakulti Pengajian Islam dalam tempoh 40 tahun berjaya menepati visi, misi dan objektif sebenar penubuhannya?
2.2 Bagaimanakah kualiti pengajaran dan pembelajaran di Fakulti Pengajian Islam ? Adakah berlaku penambahbaikan yang menepati kehendak keperluan semasa pada hari ini?
2.3 Bagaimanakah kualiti projek latihan ilmiah, penulisan tesis dan penyelidikan yang berjaya dihasilkan?
2.4 Apakah output yang dikeluarkan oleh Fakulti Pengajian Islam mampu memberikan sumbangan besar kepada masyarakat dari aspek penglibatan dalam masyarakat, kepimpinan negara dan penulisan dan penerbitan?
2.5 Kemanakah hala tuju majoriti graduan Fakulti Pengajian Islam? Adakah mereka berjaya mendapat tempat yang sesuai dengan kelayakan mereka atau terpaksa beralih kepada bidang lain bagi memperoleh peluang pekerjaan yang mampu menampung keperluan ekonomi mereka?


3. Objektif Kajian :


3.1 Melihat keberkesanan program akademik dan sistem penyampaian.
3.2 Meninjau tahap ‘employability; dan ‘marketability’ graduan Fakulti Pengajian Islam.
3.3 Mengkaji kualiti projek latihan ilmiah, penulisan tesis dan penyelidikan yang dijalankan.


4. Limitasi Kajian

Limitasi Skop : Skop kajian yang akan dijalankan meliputi graduan yang mengambil program sarjana muda sahaja di Fakulti Pengajian Islam, UKM dan graduan yang mengambil program sarjana muda dan sarjana atau sarjana dan doktor falsafah di Fakulti Pengajian Islam, UKM.

5. Definisi Operasi Kajian
a)

Modal Insan
Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul. Merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.


6. Metodologi Kajian

i. Menjalankan temubual bersama tokoh-tokoh graduan Fakulti Pengajian Islam dan pekerja yang berkhidmat dalam tempoh yang lama di fakulti ini
ii. Mengedarkan borang soal selidik kepada pelajar program sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah bagi meninjau keberkesanan program akademik dan sistem penyampaian.
iii. Menggunakan pangkalan data- Sistem Pengesanan Graduan (SKPG) daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia serta menjalankan analisis berdasarkan kekerapan atau peratusan.

0 Comments:

Post a Comment