Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About




DISEDIAKAN OLEH :
NUR HANISAH BINTI MOHD NOR AFANDI
P53118
JABATAN AL-QURAN DAN AL-SUNNAH
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

1.Pendahuluan

Remaja berasal dari bahasa latin adolescere yang bererti to grow atau to grow maturity (Golinko,1984 dalam Rice 1990 dan ramai tokoh yang telah mendefinisikan remaja mengikut kajian mereka seperti DeBrun (1990) mendefinisikan remaja sebagai jangka waktu pertumbuhan antara waktu kanak-kanak dengan masa dewasa. Papalia dan Olds (2001), masa remaja adalah masa transisi perkembangan antara masa kanak-kanak dan dewasa dan pada umumnya dimulai pada usia 12 atau 13 tahun dan berakhir pada usia akhir belasan tahun atau awal dua puluhan tahun.

Menurut Adam dan Gullota (1997) masa remaja meliputi usia antara 11 hingga 20 tahun. Sedangkan Hurlock (1990) membahagikan masa remaja menjadi masa remaja awal (13 tahun hingga 16 atau 17 tahun) dan masa remaja akhir (16 atau 17 tahun hingga 18 tahun). Masa remaja awak dan akhir dibezakan oleh Hurlock kerana pada masa remaja akhir individu telah mencapai transisi perkembangan yang lebih mendekati masa dewasa.

Papalia dan Olds (2001) berpendapat bahawa masa remaja merupakan masa antara kanak-kanak dan dewasa. Sedangkan Anna Freud (1990) berpendapat bahawa pada masa remaja terjadi proses perkembangan meliputi perubahan-perubahan yang berhubungan dengan perkembangan psiko seksual , dan juga terjadi perubahan dalam hubungan dengan ibu bapa dan cita-cita mereka dimana pembentukan cita-cita merupakan proses pembentukan orientasi masa depan. Transisi perkembangan pada masa remaja bererti sebahagian perkembangan masa kanak-kanak masih dialami namun sebahagian kematangan masa dewasa sudah dicapai (Hurlock, 1990)

Berdasarkan kepada definisi-definisi tersebut, dapatlah difahami bahawa remaja merupakan sekelompok kumpulan yang berada dalam fasa kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa dan mengalami proses perubahan-perubahan diri bagi membentuk asas pertama dalam kehidupan mereka yang sebenar di alam dewasa. Atas dasar itulah, remaja merupakan golongan yang perlu diberi perhatian serius dari aspek perkembangan fizikalnya, emosinya, pemikirannya dan intelektualnya bagi memastikan mereka menjadi golongan yang mampu mewarisi tampuk kepimpinan negara dan tamadun bangsa.
Persoalannya disini, remaja yang hidup pada zaman era millineum ini terdedah dengan pelbagai cabaran budaya yang mengakibatkan mereka mengalami krisis identiti yang amat membimbangkan. Polemik krisis identiti ini telah dibentangkan dalam Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa pada 29-31 Mac 2010 baru-baru ini. Menurut Wan Sallha Yusoff et al (2010), memang menjadi lumrahnya, remaja sentiasa mencari identiti mereka. Walau bagaimanapun, kebanyakan remaja tidak dapat memahami makna identiti dan jati diri. Jatidirinya lemah kerana ia dibentuk daripada imej-imej yang bukan realiti. Setiap kali ada sahaja perkembangan baru, dalam dunia fesyen dan trend masa kini, remaja pasti akan mencuba trend tersebut. Kalau dahulunya rock, kemudian rap, skin head, breakdance, dan hoppers, kini shuffle menjadi trend semasa. Fenomena ini bukan sahaja merebak dalam kalangan remaja di bandar, malah yang berada di desa turut terpengaruh dengan budaya barat ini. Bahkan paling menyedihkan, remaja berpendidikan tinggi di IPTA dan IPTS turut terpengaruh dan tidak mampu menepis budaya ini daripada menjadi darah daging mereka.
Menurut tokoh akademik Profesor Diraja Ungku Aziz (2005), kebanyakan remaja di negara ini kini menghadapi krisis identiti yang menyebabkan golongan ini tidak tahu membuat sesuatu keputusan. Beliau juga berpendapat iklan dan program realiti TV seperti Akademi Fantasia (AF) mempengaruhi remaja dalam membuat keputusan dan ini merupakan satu beban kepada remaja untuk menentukan mana yang baik dan tidak untuk diri mereka. Beliau menyifatkan AF sebagai program yang mengkhayalkan. (Bernama,17 Julai 2005)

Disebabkan remaja menghadapi kekeliruan dalam memilih jalan hidup mereka, meraka mula melakukan apa sahaja mengikut kehendak nafsu mereka tanpa pertimbangan iman.Buktinya mereka mula terlibat dengan pelbagai gejala sosial seperti zina, buang anak, penyalah gunaan dadah, gangster, buli, mencuri dan sebagainya. Paling menyedihkan apabila lahirnya ramai anak luar nikah.Statistik tahun 2009 melaporkan seramai 17, 303 orang anak luar nikah Melayu atau tidak sah didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada tahun 2008, seramai 16, 541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada tahun 2007 seramai 16,100 orang. Sepanjang tempoh ini, 214, 033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104, 834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) (Berita Harian,21 Mac 2010). Penulis membuat kesimpulan awal bahawa segala permasalahan yang berlaku ini menunjukkan hilangnya cara hidup beragama dalam diri mereka. Faktor hilangnya cara hidup beragama inilah yang penulis maksudkan sebagai krisis identiti yang sebenar di kalangan remaja. Oleh yang demikian, penulis merasakan perlunya kajian lanjut dijalankan bagi mencari jalan keluar berpandukan al-Qur’an dan al-Sunnah bagi menyelesaikan masalah krisis identiti yang berlaku di kalangan remaja.

2. Penyataan Masalah

Krisis identiti remaja bermaksud kekeliruan dalam meletakkan identiti diri bagi seseorang remaja. Kekeliruan ini berpunca daripada pengaruh budaya-budaya negatif yang semakin menular di negara ini. Jika remaja tidak dibimbing dengan cara hidup beragama mengikut acuan al-Qur’an dan al-Sunnah, mereka mudah cenderung memilih cara hidup bertuhankan nafsu dan duniawi semata-mata. Masalah inilah yang menjadi titik tolak kepada terhasilnya cadangan untuk menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap penyelesaian untuk mengajak remaja kembali kepada kehidupan beragama atau dalam erti kata lain mencari jalan keluar bagi melahirkan remaja Islam agar berpegang teguh terhadap agama dan menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka.
Oleh itu, jika dilihat dalam dimensi surah al-Kahfi, terdapat pelbagai intipati yang terkandung dalam surah ini yang mampu mengajar remaja untuk memahami konsep Ad-Din dalam kehidupan mereka. Bermula dengan nama surah ini sendiri yang bermaksud gua dan Ashabul Kahfi yang membawa maksud Penghuni-penghuni gua sebagai lambang hampirnya surah al-Kahfi dengan remaja. Buktinya,dalam Ensiklopedia Al-Qur’an, Kajian Kosakata, perkataan فتى dalam ayat ke 10, 13, 60 dan 72 yang bererti pemuda oleh Al-Qur’an umumnya digunakan untuk merujuk pada figure atau tokoh historis yang memiliki keutamaan seperti para nabi dan pemuda ashabul kahfi (اصحاب الكهف: penghuni gua) yang memiliki keteguhan iman (M.Quraish Shihab 2007). Justeru, sudah pasti ikon pemuda ashabul kahfi pada nama surah ini melambangkan kecenderungan surah ini terhadap golongan remaja. Apabila diteliti ayat demi ayat dalam surah ini, penulis mendapati bukan sekadar kisah ashabul kahfi sahaja yang menyentuh perihal pemuda, bahkan dalam ayat 60 sehingga 82 pula telah menyentuh tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir serta beberapa kisah lain yang terkandung di dalamya. Kisah-kisah tersebut perlu dibedah bagi menghasilkan metod tarbiyah yang efektif untuk mengarahkan remaja kembali memahami konsep ad-Din dalam kehidupan mereka.
Penulis cuba mengetengahkan pandangan Syed Qutb dalam mengukuhkan mengapa surah al-Kahfi menjadi pilihan dalam konteks menyelesaikan masalah krisis identiti di kalangan remaja. Syed Qutb (2000) dalam kitab tafsir beliau Fi Zilal Qur’an telah menyatakan bahawa surah al-Kahfi membawa mesej yang cukup besar dalam memperbetulkan sistem panduan pemikiran manusia. Apabila pemikiran seseorang dipandu berlandaskan syariat Allah, segala tindakan dan gerak laku akan mencerminkan imej dirinya yang sebenar.

Menurut Sayyid Qutb, surah al-Kahfi menyediakan segala yang diperlukan oleh seorang mukmin untuk :
1.Tashih al-Aqidah (Memperbetulkan Aqidah/Kepercayaan)
2.Tashih Manhaj al-Fikr wa al-Nazar (Memperbetulkan Metodologi Berfikir dan Memerhati / mencerap)
3.Tashih al-Qiyam bi Mizan al-Aqidah (Memperbetulkan Nilai-nilai berlandaskan Neraca Aqidah)


Tiga maksud besar ini adalah isi penting Surah al-Kahfi menurut Sayyid Qutb. Bermula daripada kisah Ashabulkahfi, ia diikuti dengan kisah pemilik dua kebun bersama sahabatnya yang Mukmin, disusuli pula dengan kisah Musa bersama seorang hamba yang soleh (Khidr) dan disempurnakan dengan pembentangan kisah Dzulqarnain. Berdasarkan hujah-hujah di atas, maka wajarlah surah al-Kahfi perlu dianalisis bagi mengeluarkan konsep ad-Din yang terkandung dalam surah al-Kahfi.

Walau bagaimanapun, bagi memastikan cadangan yang praktikal mampu diketengahkan, kajian ini perlu menjawab segala persoalan-persoalan berikut:
1.Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan krisis identiti yang berlaku di kalangan remaja pada hari ini?
2.Apakah elemen-elemen yang terdapat dalam Surah al-Kahfi yang mampu memandu remaja memahami konsep ad-Din yang sebenar?
3.Apakah konflik yang dihadapi oleh golongan remaja sehingga mereka memilih kehidupan yang menyimpang daripada landasan hidup beragama?
4.Bagaimanakah Surah al-Kahfi mampu dianalisis secara praktikal bagi mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan remaja tersebut?


3.Objektif Kajian:


1 Menjelaskan krisis identiti remaja secara terperinci
2 Menganalisa konsep ad-Din dalam Surah al-Kahfi.
3 Mengenalpasti konflik dalaman yang dialami oleh remaja.
4 Mencadangkan jalan penyelesaian yang praktikal terhadap masalah krisis identiti
yang berlaku berasaskan analisa Surah al-Kahfi

4.Definisi Operasi Kajian

Krisis identiti remaja dalam kajian ini dimaksudkan hilangnya pegangan agama dalam hidup remaja Islam bahkan terpengaruh dengan budaya-budaya negatif sebagai landasan cara hidup mereka. Menurut Syed Muhammad (2001) krisis ini berlaku kerana kita berhadapan dengan cabaran yang dicetuskan oleh falsafah dan sains Barat Moden termasuk teknologi dan ideologinya. Cabaran ini mengancam nilai, perilaku, pemikiran, kepercayaan dan cara dan hidup remaja supaya mereka berubah dengan kehendak pandangan alam sekular ini. Menurut Wan Sallha Yusof et al (2010) pula, krisis identiti yang dihadapi oleh pelajar masa kini cukup membimbangkan. Justeru, kepentingan pengurusan krisis dalam aspek pelajar ini perlu diteliti dan ditangani dengan bijak. Penyelesaian yang dilakukan perlulah melihat kepada semua aspek dan bukanlah hanya penyelesaian sementara yang akhirnya pelajar masih mengalami sindrom lupa diri dan berlagak pandai tetapi bodoh. Tahap pembentukan identiti mereka dibentuk melalui tahap kesedaran kendiri mereka iaitu pengetahuan mengenai dirinya, kefahaman mengenai dirinya, persekitarannya dan PenciptaNya.

Manakala frasa penyelesaian berdasarkan Konsep Ad-Din dalam Surah al-Kahfi pula bermaksud kaedah untuk mengembalikan remaja kepada agama berdasarkan konsep Ad-Din dalam al-Kahfi. Penyempurnaan kajian ini bukanlah bererti mampu menyelesaikan keseluruhan masalah krisis identiti tersebut, tetapi kajian ini bermatlamat untuk menyediakan garis panduan terhadap aspek-aspek yang sewajarnya diberi penekanan dalam pendidikan terhadap remaja bagi menghidupkan agama dalam diri mereka.

0 Comments:

Post a Comment