Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About


Assalamualaikum w.r.t..

Nampaknya saya masih tiada kesempatan untuk menulis di kala ini..justeru, ingin saya lakarkan coretan kupasan dari sahabat seperjuangan saya, Ukhti Azimah yang jua seorang isteri dan ibu di saat ini...Saya tertarik dgn karya beliau dan saya letakkan di blog ini sbg tanda penghargaan kepada beliau dan buat tatapan kita semua...Salam Ramadhan Karim....

MUSLIMAH DALAM PERJUANGAN ISLAM

Setiap muslimah pendokong harakah Islam mestilah benar-benar menyedari bahawa mereka mempunyai peranan yang tersendiri di dalam membina kekuatan ummah dan mendorong perjuangan Jamaah ke mercu kejayaan. Walaupun mereka dikenali sebagai golongan yang lemah lembut, namun dari fakta sejarah telah membuktikan bahawa mereka telah memberikan sumbangan yang sangat besar ertinya kepada perjuangan Islam.

Sejak awal kelahiran Islam sehinggalah cahaya Islam menerangi Jazirah Arab dan kawasan sekitarnya, medan perjuangan Islam tidak pernah sunyi daripada penyertaan angkatan muslimah. Mereka adalah sayap kiri perjuangan Islam, turut serta mengharungi liku-liku perjuangan menghadapi rintangan, meniupkan semangat, mengorbankan harta benda, sanggup melepaskan anak-anak dan suami yang mereka cintai malah ada di kalangan mereka yang gugur syahid kerana perjuangan Islam. Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran dalam surah Al-Mumtahanah ayat 12, yang bermaksud:


“Wahai Nabi, apabila perempuan-perempuan yang beriman datang kepada kamu untuk mengambiljanji setia bahawa mereka tidak akan menpersekutukan Allah dengan sesuatu apapun, mereka tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anaknya, tidak berlaku bohong yang mereka ada-adakan di antara tangan dan kaki mereka dan tidak menderhakakan dalam perkara yang baik, maka hendaklah engkau menerima janji setia mereka dan mohonlah keampunan kepada Allah untuk mereka, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang.”


MUSLIMAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH

Khadijah binti Khuwailid r.ha salah seorang daripada penghulu segala wanita di dunia ini merupakan contoh muslimah yang terlibat secara langsung di dalah Harakah Islamiah yang dibawa oleh suami beliau, iaitu Muhammad bin Abdullah s.a.w. Beliau merupakan simbol wanita yang beriman, jujur dan bersifat dermawan lagi penuh kesetiaan, gigih, berani dan terdidik serta petah berkata-kata. Beliau bertanggungjawab meniupkan semangat dan memberi perangsang kepada suaminya di dalam menghadapi pelbagai tribulasi dari kaum kafir Qurais Makkah ketika itu.

Dalam melaksanakan urusan rumahtangga, Sayyidah Khadijah menanggung beban yang berat, betapa dia benar-benar bahagia kerana melaksanakan seluruh tugasnya itu dengan penuh keikhlasan, menjaga pendidikan putera-puterinya serta memastikan segala keperluan keluarga khususnya suami dipenuhi sesempurnanya. Beliau berusaha mewujudkan sebuah rumahtangga yang aman damai untuk suaminya, kerana beliau tahu betapa penat dan jerih payah suaminya berdakwah.

Sayyidah Khadijah merupakan contoh yang terbaik dalam menyintai dan memuliakan suaminya serta mengutamakan terhadapan apa yang beliau senangi. Ketika beliau dapati suaminya terlalu cinta kepada bekas hambanya Zaid Bin Harithah, dia memuliakannya. Begitu juga sewaktu beliau mengetahui nabi ingin menanggung salah seorang anak bapa saudaranya iaitu, Ali, beliau menerimannya dengan senang hati yang terbuka serta mendidiknya dengan penuh kasih sayang. Dengan ini Sayyidah Khadijah memberi kesempatan yang berharga kepada Ali dan Zaid untuk mempelajari akhlak suaminya, Muhammad s.a.w, Maka ketika nabi diutus untuk menyampaikan agama yang terakhir dengan mengajak keduanya untuk beriman, Ali dan Zaid bin Harithah telah beriman dan menjadi sebaik-baik pembela nabi.


Sewaktu Nabi Muhammad s.a.w mula mengalami peristiwa penerimaan wahyu, baginda merasai bimbang dan takut, lalu Sayyidah Khadijah memujuknya dan memberi kepadanya pengharapan. Rasulullah s.a.w bersabda ertinya:


“Aku takut sesuatu berlaku ke atas diriku”


Kemudian Khadijah memujuk baginda dan berkata:


“Tidak sama sekali, demi Allah ia tidak mengapa-apakan engkau selama-lamanya. Engkau seorang yang menghubungkan silaturrahim, menanggung kesusahan untuk menolong orang yang memerlukan, mendapat pendapatan untuk orang yang tidak berpendapatan, memuliakan tetamu dan menolong ketika sesuatu kejadian”


Sayyidah Khadijah bukan sekadar menghiburkan hati Rasulullah s.a.w dan memberikan kepada Baginda harapan dengan kata-kata itu, bahkan Khadijah membawa baginda menemui sepupunya Waraqah bin Naufal, seorang penganut agama Nasrani yang menjadi penulis kitab Injil dan mengetahui mengenai pengalaman nabi-nabi terdahulu. Daripada Waraqah, baginda menyedari bahawa pengalaman yang dialaminya adalah pengalaman nabi-nabi terdahulu dan merupakan berita baik kepada seluruh manusia. Bagindalah insan yang dipilih oleh Allah s.a.w sebagai nabi akhir zaman.


Khadijah merupakan wanita pertama yang beriman kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai wanita yang berada, beliau mengorbankan seluruh kepentingan kebendaannya untuk tujuan dakwah Islam serta membantu Rasulullah s.a.w menjalankan tugas dakwahnya. Sebagai seorang wanita yang berpengaruh, beliau menggunakan pengaruhnya untuk melindungi Rasulullah s.a.w sewaktu dakwah yang dijalankan oleh Rasulullah mula dimusuhi oleh orang-orang Qurais. Kaum Qurais mengambil tindakan memulaukan keluarga Bani Hashim dan orang-orang Islam dengan memutuskan hubungan ekonomi dan sosial dengan mereka. Sayyidah Khadijah tetap bersama di dalam perjuangan suaminya walaupun terpaksa mengalami penderitaan akibat daripada pemulauan tersebut sehingga menjejaskan kesihatannya.


Kesan daripada pemulauan ini menyebabkan penyakitnya bertambah tenat akhirnya beliau pulang ke Rahmatullah. Pada tahun yang sama, bapa saudara rasulullah s.a.w iaitu Abu Talib juga meninggal dunia. Tahun ini dianggap tahun dukacita oleh Rasulullah kerana baginda kehilangan dua orang yang membantu dan melindungi baginda dari ancaman musuh-musuh Islam. Justeru kebaikan dan keprihatinan Khadijah yang begitu tinggi ini, sehinggakan tahun kematian beliau dan bapa saudara tersebut digelar sebagai “Tahun Berdukacita” oleh Rasulullah. Bahkan isteri baginda Aisyah r.ha mencemburui Khadijah, kerana walupun Khadijah telah tiada tetapi nabi masih menyebut-nyebut nama istimewa tersebut. Demikianlah hebatnya Siti Khadijah Al-Khuwailid r.ha isteri pertama Rasulullah s.a.w.


Sejarah perjuangan Islam telah mencatat bahawa suatu Jamaah penggerak dakwah islamiyyah yang ulung, iaitu merupakan ‘safwah Al-Mukhtarah’ telah muncul pada permulaan dakwah Islam tersebut. Kemunculan mereka merupakan kebangkitan suatu ummah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri di tengah-tengah penguasaan wathaniyyah ke atas masyarakat manusia seluruhnya. Jumlah kumpulan ini kira-kira 60 orang dan seperempat daripada mereka terdiri daripada wanita-wanita. Di antara mereka ialah:


1. Ummu AL-Fadhl binti Harith

2. Asma’ binti Umais (isteri Ja’afar bin Abi Talib)

3. Khadijah binti Khuwailid

4. Aminah binti Khalid (isteri Khalid bin Said)

5. Fatimah (isteri Abu Ahmad bin Jahsyin)

6. Asma’ (isteri ‘Iyasy bin Abi Rabi’ah)

7. Sumayyah binti Khayyat (isteri Yasir bin Amir)

8. Fatimah binti Khattab (adik Umar bin Al-Khattab)

9. Hafsah binti Umar (isteri Khurasi’ bin Huzafah)

10. Fatimah (isteri Khatib bin Al-Harith)

11. Fukaihah (isteri Khattab bin Al-Kharith)

12. Ramlah (isteri Abdullah bin Maz’un)


Generasi awal yang menjadi pelopor dalam harakah Islamiyyah ini sentiasa berdiri teguh dalam perjuangan Islam. Mereka mempunyai keimanan yang kental dan tahap pengorbanan yang begitu tinggi.



Pengorbanan wanita dari kalangan generasi pelopor ini dapat dilihat dari kisah-kisah yang berlaku ke atas Sumayyah iaitu isteri Yasir dan ibu kepada Ammar. Beliau sekeluarga telah disiksa oleh orang-orang Qurais sehingga mendapat penghormatan sebagai syahid yang pertama bersama suaminya, Yasir. Sewaktu mereka sedang disiksa, Rasulullah s.a.w lalu berhampiran dengan mereka dan bersabda:


“Sabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya kamu adalah (penghuni) syurga”


Selain daripada Sumayyah, wanita-wanita yang tuurt disiksa ialah Zunairah Al-Nahdiyyah dan anak perempuannya serta Ummu Abyas. Mereka terdiri daripada hamba-hamba yang menganut agama Islam tanpa merasa gentar menghadapi siksaan tuan-tuan mereka.


Sewaktu tekanan dan siksaan ke atas orang-orang Islam memuncak, Rasulullah s.a.w memindahkan sebahagian daripada orang-orang Islam ke Habsyah. Termasuk di dalam rombongan itu ialah wanita-wanita Islam dari keluarga ternama yang berpengaruh seperti Ummu Habibah binti Abu Sufyan pada ketika itu ialah ketua orang-orang jahiliyyah yang juga memusuhi Islam.


MUSLIMAH SEBAGAI ISTERI DAN IBU DALAM PERJUANGAN ISLAM

Wanita Islam taat kepada suaminya bukanlah kerana didorong oleh perasaan rendah diri atau terpaksa, tetapi ia diterima dengan ikhlas hari dan suami diletakkan sebagai pembimbing terbaik. Asma’ binti Yazid seorang wanita Ansar yang mahsyur, terkenal kerana kepetahan berbicara telah mengetuai beberapa orang wanita untuk memberitahu Rasulullah s.a.w akan kekecewaan mereka kerana kelebihan ganjaran kepada lelaki. Beliau mempersoalkan bahawa lelaki mempunyai peluang lebih untuk mendapat pahala melalui solat jumaat, solat jamaah, menziarahi orang sakit, menghantar jenazah dan melibatkan diri dalam jihad. Sedangkan kaum muslimah tidak dapat melibatkan diri secara sepenuhnya ke dalam amalan-amalan tersebut. Rasulullah s.a.w memberikan jawapan yang sangat mudah tetapi mempunyai makna yang sangat tinggi, iaitu jika wanita tersebut menyintai suaminya, menggembirakannya dan metaatinya, ia juga akan menerima ganjaran yang sama seperti yang di dapati oleh lelaki.


Seorang isteri yang beragama Islam amat mengambil berat akan kesihatan jiwa suaminya di damping menjaga keselesaan hidupnya. Muslimah mesti menjadi pendorong dan penyokong dalam perjuangan suaminya. Berkorban apa saja demi perjuangan Islam. Janganlah isteri pejuang Islam menjadi sebab kepada gugurnya suami dari medan perjuangan Islam. Janganlah memberatkan suami dengan perkara remeh-temeh. Jika boleh, urusan yang dapat diselesaikan sendiri, selesaikanlah secara sendiri. Mereka juga hendaklah melatih diri sebagai isteri yang cekap dalam pengurusan rumahtangga, mempunyai keyakinan diri dan mempunyai matlamat hidup ke arah melahirkan generasi Al-Quran.


Ummu Sulaim biti Malhan ibu kepada Anas bin Malik mempunyai anak lelaki yang sakit tenat. Sedang suaminya solat Asar di masjid, anak mereka meninggal dunia. Ia tidak memanggil suaminya, sebaliknya menunggu sehinggalah suaminya pulang. Ketika pulang, suaminya membawa beberapa orang teman. Ummu Sulaim menahan dirinya dan menyediakan makanan untuk tetamunya. Kemudian apabila ditanya oleh suaminya akan kesihatan anaknya, ia menjawab lebih sihat dari sebelumnya. Tetapi setelah keadaan tenang, barulah diberitahu keadaan yang sebenarnya. Demikianlah contoh seorang isteri dan ibu yang tenang dalam menghadapi keadaan yang gawat.


Wanita Islam juga mestilah sentiasa berhati-hati dalam memilih calon suami. Janganlah jadikan alasan suami membuatkan muslimah berundur selangkah demi selangkah dari medan perjuangan Islam. Pilihlah calon suami yang bakal menjadi pendorong dan sumber inspirasi dalam perjuangan Islam. Suami yang dapat memberi kerjasama dalam rumahtangga dan perjuangan Islam. Ibarat kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Sebagaimana Ummu Sulaim enggan menerima lamaran Abu Talhah kerana ia masih percaya kepada jahiliyyah. Ia menyuruh Abu Talhah meninggalkan alam jahiliyyah dan memeluk agama Islam. Gesaan ini memberi kesedaran kepada Abu Talhah dan akhirnya memilih Islam dan Ummu Sulaim.


Ketaatan kepada Islam menjadikan wanita Islam ibu yang baik. Ia mendidik anak-anak dengan kecenderungan yang berpandukan kepada nilai-nilai Islam. Sikap keibuan bagi seorang wanita adalah punca utama melahirkan akhlak yang baik kepada anak-anak. Sebagai seorang ibu yang terlibat dalam harakah Islamiyyah, seawajarnya mereka menjelaskan kepada anak-anak tentang penglibatan mereka tersebut, yakni tuntutan terhadap mengintima’kan (menyertai) jamaah Islam, supaya anak-anak mereka faham kegiatan-kegiatan ibu mereka yang mungkin sedikit sebanyak menjejaskan peranan mereka sebagai ibu di dalam dunia rumahtangga. Muslimah seharusnya menanamkan sifat berdikari kepada anak-anak mereka sejak kecil.

Begitu juga mereka sewajarnya menjadi seorang ibu yang dapat meniup roh perjuangan Islam ke dalam diri anak-anak. Seharusnya ibu-ibu muslimah sentiasa mendedahkan kepada anak-anak setiap aktiviti dalam kegiatan harakah. Anak-anak patut dibawa bersama-sama menghadiri rehlah, perkhemahan, jambori amal, ceramah dan muktamar mahu pun lain-lain program parti dan jamaah.




DISEDIAKAN OLEH :
NUR HANISAH BINTI MOHD NOR AFANDI
P53118
JABATAN AL-QURAN DAN AL-SUNNAH
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

1.Pendahuluan

Remaja berasal dari bahasa latin adolescere yang bererti to grow atau to grow maturity (Golinko,1984 dalam Rice 1990 dan ramai tokoh yang telah mendefinisikan remaja mengikut kajian mereka seperti DeBrun (1990) mendefinisikan remaja sebagai jangka waktu pertumbuhan antara waktu kanak-kanak dengan masa dewasa. Papalia dan Olds (2001), masa remaja adalah masa transisi perkembangan antara masa kanak-kanak dan dewasa dan pada umumnya dimulai pada usia 12 atau 13 tahun dan berakhir pada usia akhir belasan tahun atau awal dua puluhan tahun.

Menurut Adam dan Gullota (1997) masa remaja meliputi usia antara 11 hingga 20 tahun. Sedangkan Hurlock (1990) membahagikan masa remaja menjadi masa remaja awal (13 tahun hingga 16 atau 17 tahun) dan masa remaja akhir (16 atau 17 tahun hingga 18 tahun). Masa remaja awak dan akhir dibezakan oleh Hurlock kerana pada masa remaja akhir individu telah mencapai transisi perkembangan yang lebih mendekati masa dewasa.

Papalia dan Olds (2001) berpendapat bahawa masa remaja merupakan masa antara kanak-kanak dan dewasa. Sedangkan Anna Freud (1990) berpendapat bahawa pada masa remaja terjadi proses perkembangan meliputi perubahan-perubahan yang berhubungan dengan perkembangan psiko seksual , dan juga terjadi perubahan dalam hubungan dengan ibu bapa dan cita-cita mereka dimana pembentukan cita-cita merupakan proses pembentukan orientasi masa depan. Transisi perkembangan pada masa remaja bererti sebahagian perkembangan masa kanak-kanak masih dialami namun sebahagian kematangan masa dewasa sudah dicapai (Hurlock, 1990)

Berdasarkan kepada definisi-definisi tersebut, dapatlah difahami bahawa remaja merupakan sekelompok kumpulan yang berada dalam fasa kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa dan mengalami proses perubahan-perubahan diri bagi membentuk asas pertama dalam kehidupan mereka yang sebenar di alam dewasa. Atas dasar itulah, remaja merupakan golongan yang perlu diberi perhatian serius dari aspek perkembangan fizikalnya, emosinya, pemikirannya dan intelektualnya bagi memastikan mereka menjadi golongan yang mampu mewarisi tampuk kepimpinan negara dan tamadun bangsa.
Persoalannya disini, remaja yang hidup pada zaman era millineum ini terdedah dengan pelbagai cabaran budaya yang mengakibatkan mereka mengalami krisis identiti yang amat membimbangkan. Polemik krisis identiti ini telah dibentangkan dalam Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa pada 29-31 Mac 2010 baru-baru ini. Menurut Wan Sallha Yusoff et al (2010), memang menjadi lumrahnya, remaja sentiasa mencari identiti mereka. Walau bagaimanapun, kebanyakan remaja tidak dapat memahami makna identiti dan jati diri. Jatidirinya lemah kerana ia dibentuk daripada imej-imej yang bukan realiti. Setiap kali ada sahaja perkembangan baru, dalam dunia fesyen dan trend masa kini, remaja pasti akan mencuba trend tersebut. Kalau dahulunya rock, kemudian rap, skin head, breakdance, dan hoppers, kini shuffle menjadi trend semasa. Fenomena ini bukan sahaja merebak dalam kalangan remaja di bandar, malah yang berada di desa turut terpengaruh dengan budaya barat ini. Bahkan paling menyedihkan, remaja berpendidikan tinggi di IPTA dan IPTS turut terpengaruh dan tidak mampu menepis budaya ini daripada menjadi darah daging mereka.
Menurut tokoh akademik Profesor Diraja Ungku Aziz (2005), kebanyakan remaja di negara ini kini menghadapi krisis identiti yang menyebabkan golongan ini tidak tahu membuat sesuatu keputusan. Beliau juga berpendapat iklan dan program realiti TV seperti Akademi Fantasia (AF) mempengaruhi remaja dalam membuat keputusan dan ini merupakan satu beban kepada remaja untuk menentukan mana yang baik dan tidak untuk diri mereka. Beliau menyifatkan AF sebagai program yang mengkhayalkan. (Bernama,17 Julai 2005)

Disebabkan remaja menghadapi kekeliruan dalam memilih jalan hidup mereka, meraka mula melakukan apa sahaja mengikut kehendak nafsu mereka tanpa pertimbangan iman.Buktinya mereka mula terlibat dengan pelbagai gejala sosial seperti zina, buang anak, penyalah gunaan dadah, gangster, buli, mencuri dan sebagainya. Paling menyedihkan apabila lahirnya ramai anak luar nikah.Statistik tahun 2009 melaporkan seramai 17, 303 orang anak luar nikah Melayu atau tidak sah didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada tahun 2008, seramai 16, 541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada tahun 2007 seramai 16,100 orang. Sepanjang tempoh ini, 214, 033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104, 834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) (Berita Harian,21 Mac 2010). Penulis membuat kesimpulan awal bahawa segala permasalahan yang berlaku ini menunjukkan hilangnya cara hidup beragama dalam diri mereka. Faktor hilangnya cara hidup beragama inilah yang penulis maksudkan sebagai krisis identiti yang sebenar di kalangan remaja. Oleh yang demikian, penulis merasakan perlunya kajian lanjut dijalankan bagi mencari jalan keluar berpandukan al-Qur’an dan al-Sunnah bagi menyelesaikan masalah krisis identiti yang berlaku di kalangan remaja.

2. Penyataan Masalah

Krisis identiti remaja bermaksud kekeliruan dalam meletakkan identiti diri bagi seseorang remaja. Kekeliruan ini berpunca daripada pengaruh budaya-budaya negatif yang semakin menular di negara ini. Jika remaja tidak dibimbing dengan cara hidup beragama mengikut acuan al-Qur’an dan al-Sunnah, mereka mudah cenderung memilih cara hidup bertuhankan nafsu dan duniawi semata-mata. Masalah inilah yang menjadi titik tolak kepada terhasilnya cadangan untuk menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap penyelesaian untuk mengajak remaja kembali kepada kehidupan beragama atau dalam erti kata lain mencari jalan keluar bagi melahirkan remaja Islam agar berpegang teguh terhadap agama dan menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka.
Oleh itu, jika dilihat dalam dimensi surah al-Kahfi, terdapat pelbagai intipati yang terkandung dalam surah ini yang mampu mengajar remaja untuk memahami konsep Ad-Din dalam kehidupan mereka. Bermula dengan nama surah ini sendiri yang bermaksud gua dan Ashabul Kahfi yang membawa maksud Penghuni-penghuni gua sebagai lambang hampirnya surah al-Kahfi dengan remaja. Buktinya,dalam Ensiklopedia Al-Qur’an, Kajian Kosakata, perkataan فتى dalam ayat ke 10, 13, 60 dan 72 yang bererti pemuda oleh Al-Qur’an umumnya digunakan untuk merujuk pada figure atau tokoh historis yang memiliki keutamaan seperti para nabi dan pemuda ashabul kahfi (اصحاب الكهف: penghuni gua) yang memiliki keteguhan iman (M.Quraish Shihab 2007). Justeru, sudah pasti ikon pemuda ashabul kahfi pada nama surah ini melambangkan kecenderungan surah ini terhadap golongan remaja. Apabila diteliti ayat demi ayat dalam surah ini, penulis mendapati bukan sekadar kisah ashabul kahfi sahaja yang menyentuh perihal pemuda, bahkan dalam ayat 60 sehingga 82 pula telah menyentuh tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir serta beberapa kisah lain yang terkandung di dalamya. Kisah-kisah tersebut perlu dibedah bagi menghasilkan metod tarbiyah yang efektif untuk mengarahkan remaja kembali memahami konsep ad-Din dalam kehidupan mereka.
Penulis cuba mengetengahkan pandangan Syed Qutb dalam mengukuhkan mengapa surah al-Kahfi menjadi pilihan dalam konteks menyelesaikan masalah krisis identiti di kalangan remaja. Syed Qutb (2000) dalam kitab tafsir beliau Fi Zilal Qur’an telah menyatakan bahawa surah al-Kahfi membawa mesej yang cukup besar dalam memperbetulkan sistem panduan pemikiran manusia. Apabila pemikiran seseorang dipandu berlandaskan syariat Allah, segala tindakan dan gerak laku akan mencerminkan imej dirinya yang sebenar.

Menurut Sayyid Qutb, surah al-Kahfi menyediakan segala yang diperlukan oleh seorang mukmin untuk :
1.Tashih al-Aqidah (Memperbetulkan Aqidah/Kepercayaan)
2.Tashih Manhaj al-Fikr wa al-Nazar (Memperbetulkan Metodologi Berfikir dan Memerhati / mencerap)
3.Tashih al-Qiyam bi Mizan al-Aqidah (Memperbetulkan Nilai-nilai berlandaskan Neraca Aqidah)


Tiga maksud besar ini adalah isi penting Surah al-Kahfi menurut Sayyid Qutb. Bermula daripada kisah Ashabulkahfi, ia diikuti dengan kisah pemilik dua kebun bersama sahabatnya yang Mukmin, disusuli pula dengan kisah Musa bersama seorang hamba yang soleh (Khidr) dan disempurnakan dengan pembentangan kisah Dzulqarnain. Berdasarkan hujah-hujah di atas, maka wajarlah surah al-Kahfi perlu dianalisis bagi mengeluarkan konsep ad-Din yang terkandung dalam surah al-Kahfi.

Walau bagaimanapun, bagi memastikan cadangan yang praktikal mampu diketengahkan, kajian ini perlu menjawab segala persoalan-persoalan berikut:
1.Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan krisis identiti yang berlaku di kalangan remaja pada hari ini?
2.Apakah elemen-elemen yang terdapat dalam Surah al-Kahfi yang mampu memandu remaja memahami konsep ad-Din yang sebenar?
3.Apakah konflik yang dihadapi oleh golongan remaja sehingga mereka memilih kehidupan yang menyimpang daripada landasan hidup beragama?
4.Bagaimanakah Surah al-Kahfi mampu dianalisis secara praktikal bagi mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan remaja tersebut?


3.Objektif Kajian:


1 Menjelaskan krisis identiti remaja secara terperinci
2 Menganalisa konsep ad-Din dalam Surah al-Kahfi.
3 Mengenalpasti konflik dalaman yang dialami oleh remaja.
4 Mencadangkan jalan penyelesaian yang praktikal terhadap masalah krisis identiti
yang berlaku berasaskan analisa Surah al-Kahfi

4.Definisi Operasi Kajian

Krisis identiti remaja dalam kajian ini dimaksudkan hilangnya pegangan agama dalam hidup remaja Islam bahkan terpengaruh dengan budaya-budaya negatif sebagai landasan cara hidup mereka. Menurut Syed Muhammad (2001) krisis ini berlaku kerana kita berhadapan dengan cabaran yang dicetuskan oleh falsafah dan sains Barat Moden termasuk teknologi dan ideologinya. Cabaran ini mengancam nilai, perilaku, pemikiran, kepercayaan dan cara dan hidup remaja supaya mereka berubah dengan kehendak pandangan alam sekular ini. Menurut Wan Sallha Yusof et al (2010) pula, krisis identiti yang dihadapi oleh pelajar masa kini cukup membimbangkan. Justeru, kepentingan pengurusan krisis dalam aspek pelajar ini perlu diteliti dan ditangani dengan bijak. Penyelesaian yang dilakukan perlulah melihat kepada semua aspek dan bukanlah hanya penyelesaian sementara yang akhirnya pelajar masih mengalami sindrom lupa diri dan berlagak pandai tetapi bodoh. Tahap pembentukan identiti mereka dibentuk melalui tahap kesedaran kendiri mereka iaitu pengetahuan mengenai dirinya, kefahaman mengenai dirinya, persekitarannya dan PenciptaNya.

Manakala frasa penyelesaian berdasarkan Konsep Ad-Din dalam Surah al-Kahfi pula bermaksud kaedah untuk mengembalikan remaja kepada agama berdasarkan konsep Ad-Din dalam al-Kahfi. Penyempurnaan kajian ini bukanlah bererti mampu menyelesaikan keseluruhan masalah krisis identiti tersebut, tetapi kajian ini bermatlamat untuk menyediakan garis panduan terhadap aspek-aspek yang sewajarnya diberi penekanan dalam pendidikan terhadap remaja bagi menghidupkan agama dalam diri mereka.



Sebuah perkongsian dari sahabat di alam maya...thanks...

Perkahwinan Hafiz & Non-Hafizah :: Integrasi Ilmu Dan Maklumat

Perkahwinan merupakan tuntutan semulajadi manusia dan menjadi asas bagi melanjutkan sebuah bahtera kehidupan. Justeru perkahwinan dalam Islam merupakan wasilah untuk membentuk keluarga yang mantap dari aspek jasmani, emosi, intelek, dan rohani. Perkahwinan diantara hafiz dan non-hafizah mencuit naluri saya untuk berkongsi pengalaman bersama para pembaca sekalian Pertamanya saya rafa'kan rasa syukur ke hadrat Ilahi selama hampir 12 tahun menjadi suri kepada seorang hafiz saya benar-benar rasa bahagia. Sesungguhnya tiada perkataan yang tepat untuk saya ungkapkan rasa bahagia ini Saya yakin pemilihan bakal suami atau isteri yang betul sebelum wujudnya sesuatu ikatan perkahwinan itu amat penting dalam menyumbang rasa bahagia ini.Saya sememangnya memandang tinggi seorang yang bergelar hafiz al-Quran pada gelaran dan akhlak .Akhlak yang dimaksudkan di sini ialah membawa ciri-ciri Al Quran dalam amalan dan perbuatan harian. Saya berasa "secure" kerana hidup saya ada pembimbing dan pelindungnya. Sekadar mengambil contoh yang paling mudah dalam aktiviti harian umumnya dan ibadah khususnya saya ada tempat rujukan untuk merungkaikan kemusykilan saya. Dalam bab mengerjakan solat misalnya, saya sering merima teguran membina dan jauh di sudut hati saya rasa bahagia disayangi dan dihargai atas teguran tersebut. Suasana rumahtangga juga menjadi lebih tenang kerana sentiasa dihibur dan dihiasi dengan al-Quran sebagai santapan hati dan jiwa. Manakala solat berjamaah pula menjadi satu kemestian. Alangkah malangnya saya andainya dalam persoalan yang saya ketengahkan di atas diri saya dibiarkan menerajui diri saya sendiri. Apakah yang bakal terjadi kepada saya dan zuriat saya kelak? Di sini gandingan hafiz dan non-hafizah memberi makna yang amat besar dalam rumahtangga saya. Saya redha jika dikatakan menumpang keberkatan soerang suami yang hafiz kerana itu memang matlamat perkahwinan kami. Sehubungan dengan itu, saya tidak pernah mempersoalkan ketaatan saya kepada suami kerana saya tahu makam seorang hafiz di sisi Allah terlalu tinggi sekiranya mereka benar-benar membenarkan dan beramal dengan al-Quran yang mereka hafal, sedangkan saya hanya manusia yang jahil dan sering melakukan kesilapan. Di pihak suami yang hafiz beristerikan seorang non-hafizah, saya rasa memang ada sedikit perbezaan. Namun, saya yakin dengan kesabaran dan adanya sikap 'give and take' di kedua belah pihak segala masalah boleh ditangani dan kehidupan akan lebih ceria Akhirnya, apa yang saya kongsikan di sini hanya lah pandangan diri saya sendiri dan hakiki. saya serahkan segala-galanya kepada Allah yang maha Adil p/s artikel yang sy dapat ini hanyalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pengalaman selama hampir 12 tahun menjadi suri kepada seorang hafiz. Artikel ini tidak langsung bermaksud memuja dan memuji golongan huffaz tetapi hanyalah sekadar luahan hati seorang isteri . Sesunguhnya sy juga adalah manusia biasa yang tidak dapat lari daripada kelemahan dan kesilapan

TIMBAL BALIK PEMBENTUKAN KELUARGA CEMERLANG

:: Pengukuh tunjang kekeluargaan


Latar belakang kemahiran yang berbeza akan membuatkan pasangan ini dapat saling memperkukuh antara satu sama lain dari segi aspek ekonomi atau lainnyadalam keluarga. Kombinasi dwi aliran ini pasti membuatkan keluarga mereka lebih kompleks dan tampak lebih perkasa mengharungi bahtera rumahtangga

:: Pemantap agenda Dakwah Fillah

Umum mengetahui bahawa Golongan Huffaz adalah mereka yang berkemampuan dalam bidang kalamullah. Hal ini memberikan satu kelebihan buat mereka bagi membentuk masyarakat berdasarkan PURE ilmu yang mereka miliki Manakala sayap kiri mereka yang mempunyai strengh dalam bidang selain al Quran adalah sebagi bonus buat para huffaz. Sayap kiri ini akan menjadi Gedung bagi ilmu-ilmu yang lain samada dari aliran Profesional mahupun Teras agama bagi memantapkan agenda dakwah nakhoda mereka

:: Integrasi metod dan penekanan tarbiah anak-anak

Dalam mendidik anak-anak pula pasti advntance yang lebih baik buat keluarga ini kerana latar belakang yang berbeza membuatkan ibu dan bapa boleh saling membentuk anak-anak mengikut kepakaran masing-masing sebagi contoh bapa yang mahir berbahasa arab akan menggunakan bahasa kalamullah itu semasa berinteraksi dengan anak-anak, manakal ibu yang fasih berbahasa Inggeris pula akan menanamkan minat bahasa antarabangsa terebut pada anak-anak Namun akhirnya faktor kebahagiaan kejayaan sesuatu adalah kombinasi yang baik antara kedua pasangan tidak kira dari satu latar belakang yang sama atau tidak. Toleransi, persefahaman dan Nusrah Ilahi faktor paling utama kesejahteraan "Bahtera perkahwinan"



Kesimpulannya perkahwinan yang didasarkan pada redha Ilahi pasti akan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Pemilihan jodoh memanglah terletak ditangan kita namun penentuannya adalah mutlak dari Allah s.w.t "Rabbana hablana min azwajina wa zurriyyatina qurrata a'yun waja'lna lil muttaqina imama"

Allahu Ta'la A'lam