Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About

Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali
Timbalan Presiden ABIM’


Hubungan saya dengan al-Nadwi tidaklah seakrab hubungan Ahmad Fahmi Zam Zam, Mohamad Baderuddin Ahmad atau Allahyarham Mohd Ali Rejab. Mereka adalah anak murid yang telah belajar secara langsung dengan al-Nadwi. Malah al-Nadwi mengenali mereka dengan dekat. Saya hanya mengenali al-Nadwi melalui buku-bukunya dan hanya pernah mendengar ceramahnya ketika al-Nadwi datang ke Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena, Kedah pada tahun 1987. Ketika itu, saya masih di bangku sekolah Maktab Mahmud.

Al-Nadwi merupakan seorang pemikir Islam yang ulung. Beliau dilahirkan pada Muharram 1332 (1914M) di Rai Breily, India dan meninggal dunia dalam usia 85 tahun pada 23 Ramadhan 1420H bersamaan 31 Disember 1999M di daerah kelahirannya juga. Beliau telah menghasilkan lebih 60 buah buku dalam pelbagai ilmu Islam terutama dalam bidang pemikiran.Pemikirannya sebaris dengan tokoh reformis abad ini seperti Abduh, al-Afghani, Rashid Rida dan Shakib Arsalan. Sejak muda lagi, beliau mula bergiat dalam bidang dakwah. Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang sukar diganti malahan dirasakan oleh semua lapisan masyarakat. Salah satu aspek yang sering disuarakannya ialah proses pembaratan di dunia Islam ( westernisasi) dan materialisme yang merupakan “agama” di Barat.

Yusuf al-Qardhawi menyifatkan al-Nadwi sebagai seorang ulamak Rabbani, Islami Qur’ani dan Muhammadi. Perkataan rabbani digunakan oleh al-Qardhawi kerana tokoh ini seorang ulamak yang beriltizam dengan ilmu, amal dan dakwah. Beliau mempunyai akhlak yang terpuji dan tidak terlibat dengan perkara bid’ah atau sikap melampau sama ada dalam akidah mahupun tingkah laku. Islami pula merujuk kepada Islam yang berdarah daging dalam dirinya. Seluruh kehidupan beliau sama ada dalam ucapan mahupun tulisan malah seluruh kegiatan hidupnya berfokus kepada usaha untuk memajukan Islam.

Sementara Quranic kerana al-Quran menjadi sumber utamanya dalam ibadat, pemikiran, ucapan dan tulisan. Muhammadi ialah gelaran yang diberikan bukan sekadar kerana beliau berketurunan ahli bait, tetapi lebih dari itu. Beliau menjadikan nabi Muhammad sebagai ikutan termasuk cara hidupnya yang zuhud. Pembicaraan beliau tentang nabi Muhammad bukan sekadar perbahasan ilmiah tetapi juga merupakan perbincangan daripada seorang kekasih, pencinta dan pengkagum yang boleh dilihat dalam bukunya al-Sirah al-Nabawiyyah. Alami merujuk kepada peranan al-Nadwi dalam peringkat antarabangsa. Walaupun beliau lahir dan dibesarkan di India tetapi peranannya cukup besar dengan memegang jawatan yang penting di peringkat antarabangsa.

Al-Qardhawi menyifatkan al-Nadwi sebagai saudara, guru dan kekasihnya. Saudara (Akhi)kerana ikatan persaudaraan sesama Islam dan hubungan yang terjalin sejak al-Nadwi datang ke Mesir. Guru (Shaykhi) kerana al-Qardhawi belajar banyak daripada beliau dengan membaca buku-buku dan pengalamannya. Kekasih (Habibi) kerana al-Qardhawi amat mengasihinya atas keikhlasan, kezuhudannya, kesederhanaan dan pemikiran yang jauh dari khurafat dan syirik,

Dalam bukunya al-Sira’ Bayn al-Fikrah al-Islamiyyah wa al-Fikrah al-Gharbiah al-Nadwi menyebutkan aspek pengaruh barat. Antara pengaruh barat yang meluas dalam negara Islam ialah aspek pendidikan. Menurut al-Nadwi, umat Islam perlu membebaskan dari sistem pendidikan sekular atau mengambil sistem pendidikan barat secara total. Menurutnya sistem pengajian barat merupakan suatu usaha mendalam untuk melenyap dan membasmi unsur-unsur keislaman. Beliau merujuk kepada kata-kata H.A.R Gibb dalam buku Whither Islam yang menyebutkan bahawa berjaya atau tidak modernisasi dan westernisasi di dunia Islam dapat dilihat dari aspek pendidikan barat dan pengaruhnya yang meluas di kalangan orang-orang timur. Beliau memuji Iqbal kerana walaupun mendapat pendidikan barat tetapi beliau tidak lebur dalam arus pendidikan pemikiran barat. Menurutnya, antara teori yang digunakan dalam sistem pendidikan barat ialah menimbulkan keraguan dan syak kepada kesucian riwayat dan dalil. Oleh itu jalan terbaik bagi mengatasi masalah ini ialah merangka semula sistem pendidikan Islam walaupun menghadapi kesulitan dan waktu yang panjang.

Al-Nadwi juga begitu peka dengan sistem pendidikan dan banyak mengkritik golongan orientalis yang menyelewengkan fakta sebenar mengenai Islam. Dari segi faktor keagamaan, tujuan orientalis adalah menyebarkan agama Kristian dan menonjolkannya lebih daripada agama Islam. Di samping itu, mereka cuba membangkitkan rasa bangga terhadap mereka ke dalam jiwa anak-anak muda Islam. Dari segi politik, golongan orientalis adalah utusan barat ke negara-negara Islam dengan tujuan membuat penyelidikan yang berhubung dengan adat, bahasa, tabiat dan jiwa orang-orang timur. Melalui cara ini, barat dapat meluaskan kekuasaan dan pengaruhnya ke atas umat Islam. Walaupun begitu, ada juga golongan orientalis yang membuat penyelidikan semata-mata kerana rasa minat mereka terhadap ilmu. Menurut al-Nadwi, antara orientalis yang menghasilkan penyelidikan yang baik yang wajar diberi penghargaan ialah Prof. T.W. Arnold, pengarang buku Preaching of Islam, Stanley Lane pengarang buku Saladin (Salahuddin al-Ayubi) dan Moors in Spains, Dr. Aloys Spenger Edward William Lane, A.W.J- Wensinck, yang telah menyusun Mu‘ajam Hadith. Semua pengarang-pengarang ini menunjukkan keikhlasan mereka dalam membahaskan sesuatu isu tanpa dipengaruhi oleh faktor politik, ekonomi dan agama.

Al-Nadwi telah memberi kritikan pedas terhadap golongan orientalis yang seharusnya direnung oleh pelajar-pelajar muslim yang lain. Beliau menyebut bahawa dengan mengakui sumbangan ilmu orientalis ini, tiada halangan baginya untuk menegaskan bahawa kaum orientalis ini sering tidak beroleh taufik dari Ilahi walaupun mereka banyak melakukan penyelidikan dan penggalian terhadap ilmu-ilmu al-Qur’an, sunnah, sirah nabi, feqah Islam, akhlak dan tasauf. Mereka hanya keluar dengan tangan hampa tanpa memperolehi apa-apa dari keimanan dan keyakinan. Sebaliknya didapati bertambah besar jurang yang memisahkan mereka dengan ilmu tersebut disebabkan oleh iktikad permusuhan yang terpendam dalam hati mereka. Tujuan mereka hanya ingin mencari kelemahan tentang Islam dan mengemukakannya untuk maksud politik mahupun keagamaan.

Menurut al-Nadwi, umat Islam sekarang menghadapi kejumudan pemikiran atau mendapnya kecerdasan akal yang menimpa sarjana Islam atau pusat-pusat pengajian Islam semenjak waktu yang lama. Begitu juga, jarang ditemui ulama yang dapat meyakinkan generasi muda mengenai keunggulan Islam dan keabdian ajaran agama untuk mereka melayari kehidupan serta menyingkap takbir kelemahan-kelemahan peradaban barat dan sorotan yang ilmiah dan analisa yang teliti.

Umat Islam juga menghadapi kekosongan yang besar iaitu tidak ada pemimpin yang dapat menghadapi peradaban barat dengan keimanan dan berani. Ciri-ciri pemimpin ini ialah mereka yang menggabungkan keimanan dengan kemajuan keilmuan untuk manfaat umat dan negara. Mereka tidak memandang pemimpin barat sebagai idola yang mesti diikuti tetapi hanya mengambil contoh yang baik. Ia menaruh harapan dan keyakinan bahawa seandainya ia perlu banyak belajar dari barat maka barat juga perlu banyak belajar darinya. Malah berkemungkinan barat lebih memerlukannya. Menurutnya, usaha pembaratan berlaku dengan cepat dan berjaya kerana pendidikan barat telah menyerap masuk ke dalam jiwa anak-anak muda Islam. Taufan sistem pendidikan barat ini telah menyapu bersih generasi muda Islam yang menjadi harapan bangsa sehingga pemikiran mereka tidak dapat menerima agama Islam yang sebenar.

Antara buku beliau yang terkenal ialah Riddah La Abu Bakr Laha (murtad: mengapa tidak ada Abu Bakar memeranginya). Di dalam buku ini, beliau menyebutkan bahawa umat Islam kini menghadapi ancaman murtad yang lebih merbahaya iaitu fahaman metarialisme (kebendaan) yang datang dari pengaruh barat. Menurutnya, metarialisme merupakan fahaman yang berdasarkan penolakan kepada agama dan pemikiran yang menafikan adanya Tuhan, alam ghaib, wahyu dan kerasulan. Sungguhpun penganjur-penganjur falsafah kebendaan ini tidak menganggapnya sebagai satu agama yang baru, namun pada hakikatnya falsafah ini adalah sejenis agama yang baru. Fahaman baru ini sedang melanda dunia Islam tanpa disedari oleh kita sendiri. Al-Nadwi menjelaskan bahawa tamadun kebendaan yang menafikan ketuhanan merupakan dajjal yang membawa kerosakan ke atas dunia ini. Tamadun yang dilahirkan pada abad 17 dan mulai mencapai peringkat kematangan dalam abad ini. Tamadun kebendaan ini meletakkan kebendaan dan pemiliknya sebagai suci dan mengagungkan kebendaan dari segala-galanya.

Beliau turut menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan fahaman ini dapat menawan jiwa orang-orang Islam. Antaranya ialah pertamanya kelemahan orang Islam dari sudut keimanan, ijtihad dan ilmu pengetahuan. Fikiran menjadi sempit dan keghairahan terhadap agama mereka telah lenyap sama sekali. Keduanya para ulama tidak memainkan peranan yang sebenar dan tidak pula berusaha untuk memimpin orang Islam lain terutama anak-anak muda Islam. Ketiganya penjajahan yang berlaku ke atas negara-negara umat Islam. Orang-orang Islam mengkagumi falsafah barat yang dianggap mengandungi kebenaran dan kemajuan.

Inilah di antara faktor yang menyebabkan fahaman ini meresap dengan cepat ke dalam jiwa orang-orang Islam. Tambahan pula, ulama tidak menyedari akan bahaya fahaman ini. Al-Nadwi melihat fahaman ini sebagai satu ancaman yang besar kepada umat Islam. Akhirnya, kebanyakan pemimpin negara Islam adalah hasil daripada pendidikan barat. Inilah sebab utama berlakunya pertarungan antara dua alam pemikiran yang berlaku di dunia Islam menyebabkan negara Islam terumbang-ambing. Dalam menghadapi cabaran idealisme tersebut umat Islam perlu kembali melihat keadaan dan hakikatnya yang sebenar, memperbaiki dan membetulkan nilai-nilai agama dalam diri sendiri dan masyarakat, merombak sistem ekonomi dengan menghapuskan riba serta melaksanakan sistem zakat dan baitulmal. Ia bertujuan untuk memperseimbangkan taraf umat muslimin serta menghapuskan kemiskinan, menekankan kemajuan sains dan ilmu pengetahuan agar dapat mendekatkan pertaliannya dengan agama serta menubuhkan persatuan umat Islam di peringkat antarabangsa. Al-Nadwi menegaskan bahawa dalam menjalankan dakwah Islam, para pendakwah harus mengamalkan beberapa sikap iaitu pertamanya seseorang itu mestilah mempunyai perasaan cinta dan keikhlasan iman kepada Allah tanpa sebarang keinginan untuk memperolehi sebarang faedah kebendaan dan keuntungan lain sebagai penghargaan. Keduanya ia hendaklah meneguhkan amalan Amru bil makruf dengan cara mengajak manusia supaya melakukan perkara kebaikan dan melarang daripada kemungkaran. Ketiganya ia hendaklah menjadi contoh atau model seorang muslim sejati kepada muslim yang lain. Keempat ia hendaklah berbangga menjadi seorang muslim dan apa yang diserunya. Jika ia mempunyai nilai pemikiran seumpama itu, maka tidak diragukan lagi bahawa dia akan berjaya di dalam perjuangan yang suci ini.

Al-Nadwi berpendapat bahawa jalan yang paling selamat dalam mendidik umat Islam ialah kembali beriman kepada Alllah sebagaimana Rasulullah dahulu telah melaksanakannya dengan begitu berkesan. Kemungkaran dan kerosakan adalah berpunca dari keengganan manusia untuk kembali kepada penawar dan rawatan nubuwwah. Hanya dengan kembali kepada bentuk didikan di atas sahajalah manusia masa kini dapat diselamatkan sebagaimana manusia pada zaman dahulu diselamatkan oleh Rasulullah. Oleh itu, beliau menyarankan umat Islam kembali kepada acuan madrasah kerasulan.

Dalam menghadapi pengaruh barat di dunia Islam al-Nadwi mengakui peranan yang dimainkan oleh tokoh Jemaah al-Islamiyyah Pakistan Abu Ala al-Maududi dan pemimpin Ikhwan al-Muslimun di Mesir dalam mengkritik pemikiran barat dan menyorot kelemahan-kelemahannya dari segi ilmiah dan agama. Al-Nadwi menjelaskan kegagalan agama Kristian dalam membendung arus kebendaan di barat. Beliau menyebut bahawa agama Kristian telah kehilangan pengaruhnya ke atas dunia barat dan kekosongan itu diambil alih oleh faham kebendaan semata-mata, namun agama Kristian gagal mengetengahkan seorangpun yang dapat menentang kekejian faham kebendaan, membimbing dunia barat kembali kepada asas-asas agama sebenar, memulihkan keyakinan terhadap agama Kristian yang asli dan mempertahankan nilai-nilai akhlak daripada fahaman kebendaan dan norma-norma pemuasan hawa nafsu yang wujud dalam budaya sekarang. Dunia barat telah gagal menghadapi cabaran-cabaran moden dan gagal menemui penyelesaian terhadap masalah-masalah semasa melalui pandangan agama terhadap kehidupan dunia ini. Sebaliknya barat telah berputus asa dengan agama Kristian sama sekali. Barat telah gagal dalam pembinaan insan walaupun mereka berjaya dalam teknologi kini sehingga mampu terbang di udara seperti burung dan berenang seperti ikan di dalam lautan. Tetapi mereka gagal bagaimana hendak berjalan di atas dunia ini. Perkara ini disebabkan akal dan jiwa mereka kosong daripada kerohanian. Mereka muflis dalam pembinaan dalaman diri. Secara ringkasnya, al-Nadwi memainkan peranan penting dalam menangkis salah faham pemikiran barat terhadap Islam dan menyarankan umat Islam tidak merasa naif berhadapan dengan barat. Beliau menyebutkan kemunduran umat Islam bukan sahaja merugikan umat Islam sendiri tetapi dunia keseluruhannya. Penulis tertarik dengan kata-katanya dalam buku Tarshid al-Sahwah al-Islamiyyah iaitu : “ Adalah menjadi kewajipan kita menyemarakkan perasaan kepentingan jihad mengikut perspektif al-Quran. Sesungguhnya revolusi Iman yang membezakan umat ini dengan umat yang lain yang telah melahirkan tokoh dan pejuang sepanjang zaman. Pengabaian umat terhadap kepentingan jihad dan revolusi ini merupakan satu kerugian yang besar, kekosongan yang tidak dapat diganti dengan keluasan ilmu dan ketinggian akal dan tamadun.”

Antara faktor yang membentuk keperibadian al-Nadwi ialah :

i.Peranan keluarga

Faktor utama yang membentuk jiwanya ialah didikan ibunya yang sentiasa memberi perhatian mengenai didikan agama yang bernama Khairunnisa’.Sementara bapanya seorang yang berpegang kuat kepada ajaran agama.Keluarganya adalah keluarga yang cintakan agama dan ilmu serta menjadi pengarang buku.Ini termasuk peranan abangnya Dr. Abu ‘Ali al-Hasani yangmendidiknya sejak kecil.

ii.Peranan Darul Ulum, Nadwatul Ulamak.

Faktor kedua ialah peranan Darul Ulum yang mendidiknya terutama dalam kesusasteraan Arab sdan kesusasteraan Urdu. Dari sini beliau menelaah kitab-kitab besar dalam kedua-dua bahasa tersebut. Pada masa ini juga, bakat menulis dan mengarang serta pidato semakin terserlah.

iii. Peranan Syair Iqbal

al-Nadwi begitu kagum dengan syair Iqbal terutama mengenai tema kecintaan dan keimanan. Begitu juga pertemuan beliau dengan Iqbal yang memberi kesan dalam pembentukan peribadinya sehingga beliau mengarang buku riwayat hidup Iqbal dan syair-syairnya yang berjudul Rawa’i’ Iqbal.

iv. Kesan al-Quran dan Sirah Nabi.

Minatnya yang mendalam terhadap al-Quran dan sirah nabi telah memberi kesan yang besar dalam jiwannya sejak kecil lagi. Beliau belajar al-Quran dengan berguru kepada Ahmad Ali al-Lahori. Beliau juga merupakan guru tafsir al-Quran semasa mula berkhidmat di Darul Ulum. Di samping itu, beliau juga menerbitkan buku mengenai al-Quran dan ulum al-Quran.

Al-Nadwi sejak kecil lagi juga berminat membaca buku kisah nabi-nabi dan beliau sendiri mengakui terpengaruh dengan buku Rahmatan lil ‘Alamin karangan Sulayman al-Mansurpuri yang dibacanya dalam usia 10 tahun.Akhirnya beliau juga mengarang buku sirah al-Nabawiyyah (sejarah nabi) dan buku yang berkaitan dengan subjek ini.

v. Hubungan dengan ahli Rabbani dan ahli Sufi.

Antara keistemewaan al-Nadwi dan keluarganya ialah hubungannya dengan ulamak-ulamak rabbani yang mendidik jiwa manusia. Pendidikan ini amat penting dalam membentuk jiwa manusia. Al-Nadwi juga mengarang buku yang menceritakan kepentingan kejiwaan yang berjudul Rabbaniah la Rahbaniah. Al-Nadwi sendiri mendapat didikan kerohanian daripada Abdul Qadir al-Rayfuri dan Muhammad Ilyas al-Kandahlawi.

vi.Kesan Subjek Sejarah dan Sains Kemanusiaan.

Al-Nadwi juga terkenal sebagai seorang yang minat dan pakar dalam bidang sejarah dan sains kemanusiaan. Tambahan pula, penguasaan yang mendalam dalam bahasa Inggeris menyebabkan beliau sentiasa terkehadapan dalam menyatakan isu-isu tersebut. Beliau sentiasa optimis dengan tamadun Islam yang akan memimpin dunia.

Al-Nadwi dan Manhaj Dakwah

Al-Nadwi merupakan tokoh pendakwah sebaris dengan tokoh-tokoh pendakwah besar zaman ini seperti Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Mawdudi dan lain-lain. Menurut al-Nadwi manusia sekarang ini memerlukan kepada dakwah dan kebangkitan Islam. Keperluan manusia kepada dakwah islam tidak kurang pentingnya sepertimana keperluan mereka kepada makanan, air dan udara. Ketiadaan dakwah bukan sahaja membahayakan masyarakat Islam tetapi juga masyarakat dunia keseluruhannya. Tanpa dakwah Islam seolah-olah manusia berada seperti sekelompok kambing-kambing yang tidak ada penjaganya atau kapal yang tidak ada nakhoda.Zaman ini memerlukan kepada kebangkitan Islam lebih daripada zaman-zaman terdahulu kerana zaman ini penuh dengan gejala syahwat dan syubahat. Zaman yang penuh dengan falsafah dan ideologi asing. Oleh itu, dakwah dan kebangkitan Islam menjadi keperluan bagi setiap negara Islam.

Al-Nadwi telah menggariskan manhaj dakwah iaitu :

i. Kebangkitan dakwah itu hendaklah bertepatan dengan akidah yang berteraskan al-Quran dan Sunnah, amalan Rasulullah, Khulafa al-Rasyidin, para ahli ilmu dan akidah dari kalangan orang muslim.

ii. Pembinaan generasi muda yang mendalami ilmu agama dan pembentukan orientasi pemikiran yang soleh dan mantap yang menyinari hati-hati mereka. Generasi ini hendaklah mempunyai hubungan kuat antara iman yang mendalam dengan amalan-amalan dengan al-Quran, sirah nabi, sejarah Islah dan tajdid yang dapat membimbing mereka ke arah kepimpinan berwibawa. Dakwah itu hendaklah berkaitan dengan isu-isu masyarakat semasa, gerakan islam dan aliran-aliran yang bersifat aktif dan pendirian Islam mengenainya serta kesannya dalam kehidupan.

iii. Tidak terlalu negatif terhadap pemerintah dan berjuang pada bukan musuh. Adalah menjadi kewajipan bagi pendakwah sentiasa bersikap positif dari negatif dan menyeru mereka memelihara agama Islam dan melaksanakan sisten Islam daripada kita menduduki tempat tersebut.

iv. Pemimpin kebnagkitan Islam dan pendakwah hendaklah bersifat sederhana, zuhud, bersyukur dan bertawakkal dalam lingkungan syariah sepertimana yang dilakukan oleh salafus soleh. Kebanyakan juru islah ummah terdiri daripada mereka yang zuhud.

v. Hendaklah mengikat pendakwah dengan semangat berkorban dan kepahlawanan.Jika sekira semangat ini tidak wujud dalam diri pendakwah nescaya membahayakan dakwah yang sahih dan kebangkitan Islam.

Perkara utama yang sering disuarakan al-Nadwi ialah sifat pendakwah rabbani. Menurutnya, pendakwah rabbani ini telah berjaya menyampaikan dakwah dengan baik dan melindungi masyarakat dari kebejatan makhlak dan moral. Dalam menguatkan hujahnya beliau membawa contoh dakwah yang dilakukan oleh ahli-ahli rabbani seperti Abdul Qadir Jailani, Jamaluddin, Ahmad al-Sirhindi dan lain-lain. Menurut al-Nadwi bahawa kekuatan rohani dapat menambahkan semangat kepahlawanan dan perjuangan. Dalam sejarah Islam, pejuang-pejuang Islam adalah terdiri daripada orang-orang yang jiwanya bersih dan terdidik dengan ibadah dan menikmati kedudukan rohani yang luhur. Malahan terminal terakhir dalam perjalanan rohaniah ialah kecintaan untuk gugur syahid. Oleh itu, sifat pendakwah yang utama ialah mempunyai tahap kerohanian yang tinggi.

Sebagai contohnya Amir Abdul Qadir al-Jaza’iri seorang ahli sufi dan panglima perang. Shakib Arsalam menceritakan kehidupannya : “ setiap hari dia bangun dan melakukan solat subuh di masjid dekat rumahnya. Tidak pernah meninggalkannya kecuali jika ia sakit. Dia sering melakukan solat tahajjud dan pada bulan Ramadhan secara rutin melakukan latihan tarikat sufi. Dia tetap menjadi teladan dalam kebaikan, takwa dan akhlak yang mulia hingga wafat pada tahun 1883M”.

Al-Nadwi menggunakan manhaj dakwah dengan berteraskan kepada al-Quran kemudian hadith dan sirah serta kisah-kisah para sahabat. Ini jelas terbukti dalam bukunya Rawa’i min adab al-da’wah yang mana beliau mengambil contoh-contoh dakwah para nabi-nabi yang bersumberan al-Quran dan al-Hadith.Di samping itu, beliau mengakui manhaj itu mungkin berbeza dari satu tempat dari satu tempat yang lain kerama dakwah mesilah mengambil kira masalah lingkungan , sausana dan persekitaran. Oleh itu, dakwah yang berkesan ialah dakwah yang mengambilkira realiti yang ada. Di samping itu, pendekatan hikmah dan bijaksana perlu diberi perhatian.al-Nadwi juga menyarankan memahami al-Quran dengan mendalam, sejarah dakwah dan tokoh-tokoh dakwah serta adab-adab Islam. Kebanyakan bidang tersebut telah ditulisnya untuk penyediaan kepada para pendakwah.

Yusuf al-Qardhawi menjelaskan keistimewaan dakwah al-Nadwi iaitu :

i. Allah telah memberikannya akal dan hikmah yang dapat melahirkan kalimah-kalimah yang tepat pada tempat dan masa. Bertegas pada tempat yang memerlukannya dan berlembut pada tempat yang memerlukannya. Ini yang saya kenali sejak beliau muda sehinggalah kini.

ii. Memiliki ilmu yang luas yang diperlukan oleh seseorang pendakwah sepertimana yang saya sebut enam perkara ilmu dalam buku saya Thaqafah al-Da’iyyah iaitu ilmu agama, bahasa, kemanusiaan, Sains dan Semasa.

iii. Al-Nadwi memilki bakat kesusasteraan yang tinggi. Perkara ini dapat dilihat dalam buku-buku tulisan dan surat-suratnya. Beliau dibesarkan dalam sausana bahasa Arab sejak kecil lagi.

iv. Al-Nadwi memiliki jiwa yang hidup dan hati yang sentiasa terikat dengan Allah, rasul dan agama yang suci ini. Perkataan yang keluar dari hati yang bersih akan memberi kesan yang besar kepada jiwa seseorang.

v. Al-Nadwi memiliki akhlak dan peribadi yang mulia. Antara akhlaknya ialah lemah lembut, toleransi, berani, sabar, adil dan jauh dari sifat sombong dan takabur.

vi. Al-Nadwi berpegang kepada akidah yang betul iaitu akidah ahli Sunnah wa Jamaah yang jauh dari perkara syirik, khurafat dan bid’ah yang berleluasa di India.Ini disebabkan beliau mendapat didikan di madrasah Deoband dan Nadwatul Ulamak.

Kesimpulannya khazanah pemikiran al-Nadwi haruslah digali oleh generasi kini sebagai satu panduan untuk kita berkhidmat dalam medan dakwah. Al-Nadwi pernah menyebutkan kepada murid-muridnya bahawa beliau menulis buku-buku bukan untuk generasinya tetapi adalah untuk generasi kamu dan seterusnya, bukan untuk tujuan peribadinya tetapi untuk ditatap oleh generasi seterusnya sebagai bekalan

0 Comments:

Post a Comment